Antara tokoh-tokoh pengarang karya agung ialah Tun
Seri Lanang, Raja Ali Haji, Abdullah Munsyi, Syeikh Nuruddin ar-raniri. Tun
Seri Lanang merupakan pengarang karya agung Sulalatus Salatin, manakala Raja
Ali Haji menulis karya agung Tuhfat al-nafis, Abdullah Munsyi pula menulis
tentang Hikayat Abdullah dan Syeikh Nuruddin ar-raniri menulis tentang Bustanatus
Salatin.
Tun Seri Lanang
Tun
Sri Lanang adalah nama timang-timangan yang diberikan kepada Tun Muhammad, anak
Tun Ahmad Paduka Raja yang merupakan seorang Bendahara Kerajaan Johor pada
kurun ke-17 Masihi. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor
pada tahun 1565. Beliau adalah Bendahara Johor pada ketika itu dan setelah
Johor kalah dalam peperangan dengan Aceh yang pada ketika itu diperintah oleh
Sultan Iskandar Muda Aceh. Beliau kemudiannya telah dibawa ke Aceh pada tahun
1613 dan telah menetap di negeri Samalanga. Pada ketika itu, ramai bangsawan
dan rakyat Johor yang mengikut beliau ke Aceh dan dikatakan seramai ribuan
orang yang mengikut beliau ke sana.
Sultan Iskandar Muda telah melantik
beliau sebagai penasihat utama Baginda dan diberi gelaran ‘Orang Kaya Datuk
Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’. Beliau telah mendirikan pusat penyebaran
agama Islam dan pendidikan terutamanya di negeri-negeri pesisir timur Aceh.
Beliau kemudiannya telah di angkat menjadi raja di negeri Samalanga pada tahun
1615. Beliau telah mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan telah dimakamkan di
sana. Pada waktu itu, beliau telah berjaya menjadikan negeri Samalanga sebagai
sebuah pusat penyebaran agama Islam di timur Aceh dan sehingga kini pun kawasan
tersebut masih lagi menjadi tumpuan bagi sesiapa sahaja yang ingin mendalami
ilmu agama.
Tun Sri Lanang sangat dikenali oleh
kerana karyanya iaitu Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang merangkumi
pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa. Kebenaran
tentang beliau sebagai penulis asal atau sekadar penyunting kitab tersebut
tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun menurut Syeikh Nuruddin al-Raniri,
ulama dan penasihat agama Sultan Aceh, telah memperakukan Tun Sri Lanang
sebagai pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin kerana beliau kenal rapat
dengan Tun Sri Lanang. Kitab tersebut telah dapat disiapkan penulisan dan
penyuntingannya oleh Tun Sri Lanang dalam masa dua tahun iaitu pada tahun 1614
selepas tarikh penulisannya yang dimulai pada tahun 1612 Masihi. Sulalatus
Salatin adalah diperakui sebagai satu sumber terkaya dan terlengkap yang
menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara.
Karya-karya yang dimuatkan dalam
kitab ini termasuklah yang berunsur humor dan kisah-kisah cinta serta salasilah
raja-raja yang telah disampaikan mesejnya kepada pembaca melalui imaginasi yang
kaya, lukisannya yang tepat dan tajam. Pengarang juga berjaya menunjukkan
penguasaan beliau dalam pelbagai bahasa
asing seperti bahasa Arab dan Jawa. Penggunaan bahasa Melayunya pula
dikarang dengan indah dan sesuai dijadikan panduan penulisan sepanjang zaman.
Melalui karya ini, dapat dibuktikan bahawa penulis iaitu Tun Sri Lanang
mempunyai minat yang tinggi dengan sejarah dan suasana pergolakan politik
Melaka pada waktu itu. Beliau sangat berminat membaca naskhah sastera dan
sejarah tertua seperti Hikayat Raja-raja Pasai (Kesultanan Pasai-Samudra) yang
sedikit sebanyak menyumbang kepada idea penulisan dalam karya Sulalatus
Salatin. Kini, ratusan puisi, drama, filem, lukisan, esei dan karya sejarah
adalah diilhamkan daripada kitab Sulalatus Salatin yang juga banyak
diterjemahkan ke dalam bahasa lain seperti bahasa Jerman, Rusia dan Inggeris.
Mengarang
Sejarah Melayu
Tun Muhammad atau nama
timang-timangannya Tun Sri Lanang mula mengarang karya Sulalatus Salatin
bermula pada tahun 1612 dan lebih terkenal sebagai pengarang dan penyusun
Sejarah Melayu disamping jawatannya sebagai Bendahara Kerajaan Johor. Beliau
disifatkan sebgai seorang yang kreatif, berpengetahuan luas dalam aspek
penggunaan gaya bahasa dan penulisan, peraturan dan adat istiadat Melayu. Karya
terunggul beliau ini berkait rapat dengan Sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan
karya tersebut seringkali dijadikan rujukan sejarah bagi mengkaji peradaban
Tamadun Islam Beraja. Karya Sulalatus Salatin yang merangkumi pelbagai aspek
penceritaan menjadikan ianya sebagai sumber rujukan utama tentang kebudayaan
dan ketamadunan masyarakat Melayu awal.
Karya ini juga dianggap sebagai
karya yang begitu indah dan menarik dari segi gaya bahasa dan persuratannya.
Kandungannya yang meliputi unsur kelucuan, kebijaksaan, sindiran, perlambangan,
peribahasa, bidalan, pantun seloka, dan gurindam yang dikarang dalam pelbagai
bahasa seperti bahasa Melayu, Arab, Jawa dan lain-lain dengan begitu teliti dan
kemas. Namun, ia juga tidak terlepas daripada ‘Polemik Sejarah’ kerana naskhah
tersebut didakwa bukan naskhah asal karangan Tun Sri Lanang tetapi kandungannya
adalah daripada Hikayat Melayu yang diberikan oleh Tun Bambang Sri Narawangsa,
anak Sri Askar Raja, Patani. Hikayat itu dikatakan telah dikarang dan disusun
semula oleh Tun Sri Lanang atas titah Raja Abdullah, iaitu adinda Sultan
Alauddin Riayat Shah III yang akhirnya menjadi Sulalatus Salatin. Sejarah
penting berkaitan arahan dan galakan oleh Raja Abdullah kepada Tun Sri Lanang
untuk menulis dan mengarang tentang Sejarah Melayu ada tercatat dalam kitab
tersebut sebagai mukadimahnya. Dengan titah Raja Abdullah tersebut, dapat
disimpulkan bahawa penulisan kitab Sulalatus Salatin telah dimulakan pada 12
Rabiul Awal 1021 Hijrah bersamaan Mei 1612 ketika itu Sultan Alauddin Riayat
Shah III bersemayam di Pasir Raja.
Karya Sulalatus Salatin ini juga
cuba dinafikan oleh sesetengah pihak tentang penulis sebenarnya termasuk seorang
penulis barat iaitu R. O. Winstedt. Namun, pendapat beliau dibantah oleh ramai
sarjana tempatan dan luar Negara. Menurut Teuku Iskandar dalam bukunya
Kesusasteraan Melayu Klasik Sepanjang Abad berkata bahawa Tun Sri Lanang bukan
penulis asal Sulalatus Salatin. Walaupun begitu, menurut beliau berdasarkan
penyelidikan-penyelidikan yang dibuat menunjukkan bahawa penyalin naskhah
Melayu itu bukanlah penyalin dalam erti kata yang sebenarnya seperti mana yang
berlaku di Bali. Penyalin juga boleh dianggap penyarang kerana banyak
memperbaiki kesalahan dan menambah sebarang kekurangan dalam karya,
mengurangkan apa yang dirasakan lebih, serta mengubah struktur dan gaya bahasa
karya asal bersesuaian dengan keadaan pada zaman itu. Jika dilihat semula pada
mukadimah yang ditulis oleh Tun Sri
Lanang dalam kitab Sulalatus Salatin, Teuku Iskandar berpendapat bahawa Tun Sri
Lanang bukan sekadar penyalin bahkan merupakan penulis asal karya tersebut.
Syeikh Nuruddin al-Raniri juga
turut menjadikan Sejarah Melayu sebagai rujukan utama dalam penulisan karyanya
iaitu Bustanatus Salatin (Taman Raja-raja) yang ditulis pada tahun 1637-1641.
Beliau merupakan seorang ulama, penulis terkenal di Nusantara dan juga sahabat
akrab Tun Sri Lanang, turut memetik banyak perkara daripada Sejarah Melayu, Bab
II fasal 12 yang berbunyi seperti berikut:
“Kata Bendahara Paduka Raja Tun Sri
Lanang yang mengarang kitab misrat Sulalatus Salatin, ia mendengar daripada
bapanya, ia mendengar daripada nenek dan datuknya, tatkala ada hijrat al Nabi
SAW seribu dua puluh esa, pada bulan Rabiul Awal pada hari ahad, mengarang
hikayat pada menyatakan segala raja-raja kerajaan di negeri Melaka, johor,
Pahang dan meyatakan bangsa dan salasilah mereka itu daripada Sultan Iskandar
Zulkarnain…”
Pendapat itu juga disokong oleh
penulis buku Sejarah Johor, Buyong Adil yang menyatakan:
“Tun Sri Lanang selalu berguru
daripada ulama terkenal di Aceh seperti Nuruddin al-Raniri, Tun Aceh, Tun
Burhat, Hamzah Fansuri, Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani. Dengan itu, Syeikh
Nuruddin al-Raniri tentu amat mengenali Tun Sri Lanang”.
Abdul Samad Ahmad juga dalam
Sulalatus Salatin versi beliau, turut membangkang pendapat R. O. Winstedt
dengan hujah-hujah yang kukuh. Beliau berasa hairan dengan Winstedt yang
beria-ia menafikan Tun Sri Lanang sebagai penulis dan penyusun Sulalatus
Salatin sedangkan Winstedt sendiri ada menyatakan dalam mukadimah edisinya yang
berbunyi:
“…Demikian bunyinya titah Yang Maha
Mulia itu, bahawa hamba minta diperbuatkan hikayat pada Bendahara, peraturan
segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya…..Bendahara yang disebutkan itu
tentunya bukan Tun Bambang...”
Beliau juga menambah, Tun Sri
Lanang menulis karya tersebut untuk menggembirakan rajanya , setelah memohon
petunjuk daripada Allah SWT dan Syafaat daripada Nabi Muhammad SAW. Maka
bermulalah penulisan Sulalatus Salatin atau “Pertuturan Segala Raja-raja”
berdasarkan apa yang diceritaka oleh ayahdan datuknya. Oleh itu, sudah tentu
karya tersebut dikarang dengan penuh teliti dan berhati-hati oleh Tun Sri
Lanang dan padanya karya itu cukup sempurna dari aspek sasteranya.
Teuku Iskandar dan A. Samad Ahmad
juga berpendapat bahawa bukan perkara luar biasa jika seorang Bendahara dapat
mengarang hikayat, jika dilihat semula nendanya Tun Isap Misai pernah menulis
Hikayat Anak Panah Sedasa. Malah ketokohan dalam bidang penulisan ini juga
diwarisi oleh zuriat Tun Sri Lanang contohya daripada pujangga Riau seperti
Raja Ali Haji. Tun Sri Lanang mula menumpukan perhatian dalam pengkajian
hasil-hasil kesusasteraan Aceh selepas perang di Batu Sawar pada tahun 1613
apabila beliau ditawan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah III dan dibawa ke Aceh.
Oleh sebab itu, beliau mempunyai masa yang panjang untuk mengkaji dan menelaah
hasil-hasil karya tersebut.
Pada ketika itu juga terdapat
beberapa penulis masyhur Aceh seperti Syeikh Shamsuddin Pasai, Hamzah Fansuri,
Bukhari al-Jauhari dan Nuruddin al-Raniri. Persamaan zaman antara Tun Sri Lanang
dengan pengarang-pengarang hebat ini dapat dikatakan kemungkinan besar mereka
sempat bertukar maklumat dan pendapat antara satu sama lain yang mungkin
sedikit sebanyak turut mempengaruhi penulisan beliau. Melihat kepada
bukti-bukti tersebut, dapat ditegaskan bahawa Tun Sri Lanang adalah pengarang
dan penyusun Sulalatus Salatin dan karya ini seharusnya diiktiraf sebagai karya
karya asal tulisan Tun Sri Lanang dan beliau bukan sekadar penyalin
semata-mata. Sungguhpun teks Hikayat Melayu diambil sebahagian daripada
kandungannya, namun rujukan bahan, sumber-sumber primer, serta cerita-cerita
lisan yang didengar daripada datuk neneknya dan daripada pengalamannya sendiri
yang disusun dan digarap mengikut gaya bahasa yang tersendiri dalam pelbagai
aspek sastera cukup untuk menjadikan beliau digelar pengarang Sulalatus Salatin
yang asli.
Kepengarangan
Tun Sri Lanang
Kepengarangan merupakan satu
istilah baru dalam dunia penulisan Melayu dan istilah ini terbentuk apabila
wujudnya kesedaran dikalangan peneliti-peneliti sastera tentang hubung kait
antara pengarang dengan karya yang dihasilkan. Pada awal zaman penulisan,
penulis atau pengarng tidak begitu mengambil berat tentang kepentingannya
sebagai orang yang mencipta sesuatu karya. Maka, pada zaman dahulu kebanyakan
hasil karya sastera tidak dapat dipastikan siapa penulis asalnya kerana tidak
tercatat di mana-mana tentang nama penulisnya. Sehubungan dengan itu, penekanan
terhadap reaksi pembaca kepada karya yang dihasilkan serta keberkesanan teks
dan mesej yang ingin disampaikan juga menyebabkan kehadiran pengarang sebagai
pencipta karya seperti disisihkan. Sungguhpun begitu, pengarang atau penulis
tidak dapat dipisahkan begitu sahaja daripada karya yang dihasilkan kerana
pengarang adalah sumber pertama yang mencetuskan idea dalam sesuatu penulisan
karya. Pengarang juga adalah orang yang membina plot atau jalan cerita yang
bermula dengan permulaan cerita, konflik, klimaks dan akhirnya peleraian dalam
sesuatu kisah atau penceritaan.
Hal ini telah menyebabkan ramai yang
tidak mengenali pengarang hebat suatu waktu dahulu kerana tidak dicatat nama
penulis bersama karyanya. Oleh itu, pengarang adalah hal penting yang harus
diberi keutamaan setiap kali perbincangan penulisan dan kesusasteraan
dibincangkan. Terlalu sedikit penulis masyhur pada zaman dahulu yang dikenali
dan antara nama besar yang dikenal pasti sebagai penulis yang banyak menyumbang
dalam catatan sejarah Melayu tidak lain tidak bukan iaitu Tun Sri Lanang. Nama
lain yang turut diberi perhatian adalah seperti Raja Chulan bin Raja Abdul
Hamid, Raja Haji Ahmad, Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad, Sultan Mahmud
Badaruddin, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah, Raden Anom, Raja Aisyah, Raja
Sapiah, Encik Amin dan beberapa orang yang lain lagi.
Merujuk semula kepada perbincangan
di atas, perbahasan tentang kepengarangan seseorang pengarang melibatkan
pelbagai aspek seperti latar belakang kehidupannya, zaman perkembangan
masyarakat dan hasil karya ciptaannya. Maka, perbincangan tentang Tun Sri Lanang
juga akan menyentuh beberapa aspek tersebut yang meperlihatkan identiti penulis
namun perbincangan tidak akan megupas isu gaya bahasa serta pemilihan kata yang
digunakan dalam karya tulisan beliau. Ini adalah kerana aspek-aspek tersebut
sudah seringkali dibahaskan jika dibandingkan dengan penelitian tentang latar
belakang pengarang itu sendiri. Oleh sebab itu, kepengarangan Tun Sri Lanang
akan membincangkan tentang riwayat hidup beliau serta penglibatan beliau dalam
bidang penulisan kesusasteraan.
Namun apa yang paling penting sekali ialah
perbincangan tentang beliau dan karya agungnya iaitu Sulalatus Salatin atau
Sejarah Melayu yang dikarang bermula tahun 1612. Oleh kerana maklumat tentang
latar belakang beliau sangat terhad, jadi antara maklumat yang diperolehi
adalah daripada beberapa teks yang secara kebetulan menceritakan tentang
pengarang ini. Maklumat terpenting mengenai beliau turut tercatat dalam
mukadimah beberapa versi Sejarah Melayu termasuk edisi Shellabear (pertama kali
diterbitkan pada tahun 1989) dan dalam Sulalatus Salatin yang diselenggara oleh
A. Samad Ahmad (pertama kali diterbitkan pada tahun 1979). Karya beliau sedikit
sebanyak telah menyumbang maklumat berkenaan diri beliau iaitu tentang
keturunan beliau yang digelar Tun Sri Lanang, dilantik menjadi Bendahara Paduka
Raja pada zaman pemerintahan Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah (Raja Abdullah).
Maklumat lain yang lebih jelas tentang beliau telah diperolehi daripada
penyelidikan A. Halim Nasir (1995).
Beliau yang dilahirkan pada tahun
1565 di Bukit Seluyut, Kota Tinggi, Johor merupakan anak kepada Orang Kaya
Paduka Raja Ahmad dan bondanya bernama Tun Genggang. Beliau berasal daripada
keturunan keluarga Bendahara Seri Maharaja, Melaka yang merujuk kepada Baginda
Mani Purindam yang berasal daripada Bukit Siguntang. Beliau telah dilantik
menjadi Bedahara ke-14 yang membawa gelaran Bendahara Seri Maharaja Johor pada
tahun 1580 oleh Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah dan baginda telah mangkat
pada tahun 1615. Dalam buku Bustanatus Salatin, karya Syeikh Nuruddin al-Raniri
merujuk pada tulisan Tun Sri Lanang ketika membentangkan sejarah Kesultanan
Aceh, Syeikh Nuruddin telah menyatakan bahawa Sultan Aceh telah memberi
kebenaran untuk empat orang pembesar Johor mengadap dengan membawa persembahan.
Salah seorang pembesar itu hanya disebut Paduka Raja sahaja tanpa nama sebenar,
namun pembesar tersebut diyakini adalah Tun Sri Lanang kerana setahun kemudian
iaitu pada tahun 1613, beliau tiba semula di Aceh bersama Sultan Alauddin Riayat
Syah III dan Raja Abdullah yang bersama-sama mengadap Sultan Iskandar Muda
Aceh.
Dalam mukadimah Sulalatus Salatin
ada mencatatkan bahawa Tun Sri Lanang telah menulis kitab tersebut di atas
titah Raja Abdullah yang menginginkan hikayat dan istiadat Raja-raja Melayu
ditulis supaya beroleh kebaikan dan faedah daripadanya untuk tatapan generasi
masa kini.
“Bahawa hamba minta diperbuatkan
hikayat pada Bendahara pada menyatakan peraturan segala raja-raja Melayu dengan
istiadatnya supaya didengar oleh anak cucu kita yang kemudian dari kita dan
diketahuinyalah segala perkataan, syahadan beroleh faedah mereka itu
daripadanya.”
(A. Samad Ahmad, 1986:2-3)
Oleh
itu, bermulalah kerja Tun Sri Lanang ke atas pengeditan Hikayat Melayu pada
tahun 1612 bersamaan 12 Rabiul Awal 1021 Hijrah. Walau bagaimanapun, terdapat
perbezaan tentang tarikh karya itu mula dikarang seerti yang dinyatakan iaitu
pada hari Khamis namun beberapa sarjana telah menyelesaikan masalah ini dan
bersetuju bahawa tarikh sebenar ialah pada hari Ahad 12 Rabiul Awal 1021
Hijrah. Mereka yang telah menyelidik dan berjaya menyelesaikan masalah ini
adalah Teuku Iskandar dan A. Samad Ahmad.
Persoalan tentang siapakah pengarah
sebenar Sulalatus Salatin telah dipersoalkan seawal-awalnya oleh Wilkinson
(1933) dan Winstedt (1938) dan dipanjangkan hinggalah ke tahun 1990 -an.
Kebanyakan pengkaji ini berasa sangsi tentang ketulenan Tun Sri Lanang sebagai
pengarang Sulalatus Salatin kerana mereka hanya menganalisis karya tersebut
berdasarkan versi yang ada pada mereka tanpa memikirkan tentang kewujudan
berpuluh-puluh versi lain. Kekeliruan yang lain wujud adalah kerana wujudnya
versi panjang dan versi pendek yang dikenalpasti oleh Koolvink (1967). Sejarah
Melayu M. Raffles 18 adalah versi pendek dan dalam versi ini, Winstedt telah
menemui catatan “wa katibuhu Raja Bongsu”, lalu mempercayai seseorang yang
bernama Raja Bongsu adalah pengarang sebenar dan bukan sekadar penyalin karya
Sulalatus Salatin. Selain itu, versi-versi itu juga mengalami pelbagai
perubahan, penambahan, penyingkiran dan sebagainya di tangan penyalin-penyalin
terkemudian.
Pada abad ke-20, peneliti-peneliti
penulisan Melayu belum lagi mempunyai pengetahuan yang luas mengenai penulisan
dan kesusasteraan Melayu. Oleh sebab itu, kebanyak mereka tidak sedar akan
peranan penyalin yang juga boleh diterima sebagai pengarang bersama (co-author:
Voorhoeve) kerana banyak melakukan kerja-kerja menyemak, menyusun, membetulkan
kesalahan sekaligus meningkatkan lagi mutu penulisan pengarang asal. Oleh kerana mereka masih belum mahir dalam
ilmu penulisan kesusasteraan Melayu tradisional secara amnya dan tentang
wujudnya tradisi penyalinan manuskrip Melayu yang mempuyai peraturan-peraturan
dan sifat-sifatnya yang tersendiri telah menyebabkan mereka mudah menolak
keaslian seseorang pengarang atau penyusun sesuatu karya.
Akhirnya Teuku Iskandar (1995)
telah membuat kesimpulan badasarkan kepada maklumat yang diperolehi berpendapat
bahawa Sejarah Melayu yang terdapat dalam Hikayat Melayu telah wujud sebelum
Melaka dikalahkan Portugis lagi dan bukan merupakan hasil karangan seorang
pengarang tunggal. Tradisi penulisan seperti ini telah diinspirasikan daripada
penulisan manuskrip oleh sami-sami kuil Buddha yang ingin mengekalkan penulisan
kitab Maharamsa di Sri Lanka. Juga daripada contoh catatan oleh raja-raja yang
memerintah Sulawesi apabila berlaku sesuatu peperangan, kelahiran, kematian,
pertabalan raja dan sebagainya. Pendapat bahawa Sejarah Melayu telah wujud
sebelum 1511 juga dapat dibuktikan dengan kenyataan tentang Sultan Muzaffar
Syah yang memerintah pada tahun 1444-1458 yang telah meminta segala
undang-undang dan peraturan kerajaan dicatatkan dalam bentuk tulisan.
Undang-undang Melaka merupakan
contoh terbaik yang telah wujud sejak zaman Sultan Muhammad Syah lagi iaitu
raja pertama yang memeluk Islam. Undang-undang tersebut telah diperturunkan
sehingga zaman Sultan Muzaffar Syah dan ada kemungkinan hukum-hukumnya telah
dikemaskinikan. Dengan itu, dapatlah disimpulkan bahawa Hikayat Melayu telah
dimulai dalam bentuk lisan yang kekal dalam ingatan orang-orang tertentu
sebelum dipindahkan dalam bentuk tulisan. Hikayat atau cerita yang terdapat
dalam Sulalatus Salatin banyak menceritakan
tentang zaman sebelum kejatuhan Melaka dan selepas itu ditambah dengan beberapa
cerita lain yang dimuatkan oleh Tun Sri Lanang seperti Hikayat Iskandar dan
Hikayat Raja-raja Pasai pada tahun 1612. Begitu juga disebut tentang Hikayat
Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Hanafiah menunjukkan bahawa beberapa bab
terakhir yang ditulis oleh seseorang yang hidup pada zaman kejatuhan Melaka.
Kepelbagaian versi Sejarah Melayu
juga telah membuatkan kita dapat membaca pelbagai versi tentang sejarah Sultan
Mansur Syah yang dilagendakan perkahwinannya dengan Puteri Jawa dan Puteri
Pahang. Begitu juga dengan peminangan Sultan Mahmud Syah terhadap Puteri Gunung
Ledang yang diubah oleh penyalin kepada Sultan Mansur Syah mungkin kerana
kekagumannya terhadap Sultan Mansur Syah dengan harapan dapat meningkatkan lagi
citra Sultan namun tidak menyedari tentang interpretasi cerita tersebut telah
mengurangkan kewibawaan Sultan. Antara perubahan lain yang berlaku dalam
Sejarah Melayu adalah seperti perubahan watak Hang Jebat yang bertarung dengan
Hang Tuah yang telah diubah kepada Hang Kasturi dalam versi lain. Sejak itu
penulis dengan mudah dan berani dapat mengkritik dan menyindir Sultan secara
terbuka melalui pelbagai kisah seperti peminangan Puteri Gunung Ledang, peristiwa
pembunuhan Bendahara Seri Maharaja dengan keluarganya yang mengandungi
pengajaran dan teladan. Dengan fakta yang disediakan oleh Tun Sri Lanang telah
memperlihatkan kepengarangannya dalam karyanya yang ditulis dan dilukis dengan
penuh imaginasi dan indah sekali seperti peristiwa pembunuhan Bendahara.
Sungguhpun begitu, Tun Sri Lanang
tidak boleh menggunakan penanya dengan sewenang-wenangnya sebaliknya haruslah
menulis dan mengarang dengan penuh saksama, berhemah, bijak dan berjiwa murni
agar karyanya dilihat dengan penuh keagungan dan disanjung tinggi. Kenyataan
tentang karya tersebut telah dikemaskini adalah apabila wujudnya versi panjang
Sejarah Melayu seperti manuskrip W188 dan W190 yang tersimpan di Jakara dalam
koleksi Von de Wall, yang penceritaanya dilanjutkan sehingga peristiwa Johor
dikalahkan oleh angkatan Jambi pada tahun 1673. Versi panjang juga menceritakan
tentang asal usul Hang Tuah juga tentang siapakah yang sebenarnya bertarung
dengan Hang Tuah sama ada Hang Jebat atau Hang Kasturi. Versi panjang juga
mempunyai beberapa cerita atau hal lain yang tidak tercatat dalam Sejarah
Melayu versi pendek. Roolvink (1967) dalam penyelidikannya telah berpeluang
menatap suatu naskhah berjudul “Cerita Asal Raja-raja Melayu Punya Keturunan”
yang dikatakan suatu ‘terjemahan’ daripada Sulalatus Salatin, beliau
berpendapat bahawa Tun Sri Lanang telah mengemaskini, memperbaiki dan memberi
isi yang lebih lengkap dan ini mungkin merupakan suatu versi Hikayat Melayu.
Tugas yang diberikan kepada Tun Sri Lanang bukanlah suatu tugas yang mudah
dilaksanakan dan ianya memerlukan seseorang yang berpengetahuan luas dalam hal
bahasa, peraturan dan istiadat Melayu, malah turut mempunyai kemahiran dalam
kehidupan istana serta orang-orang yang berpengaruh.
Bahagian akhir Sulalatus Salatin
secara tidak langsung memperlihatkan kemahiran dan kewibawaan Tun Sri Lanang
dalam menangani masalah selepas kemangkatan Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah.
Raja Abdullah yang diwariskan takhta kepadanya tidak mahu ditabalkan sebagai raja
dan menyerahkannya kepada kekandanya Raja Mansur dengan gelaran Sultan Alauddin
Riayat Syah III. Sungguhpun begitu, segala hal pentadbiran diserahkan kepada
Tun Sri Lanang. Oleh hal yang demikian, Tun Sri Lanang terpaksa berulang-alik
berjumpa Raja Abdullah untuk berunding hal negeri dan pada ketika itulah Raja
Abdullah mengetahui tentang Hikayat Melayu lalu menitahkan Tun Sri Lanang untuk
memperbaiki karangannya.
Pada tahun 1726, Francois Valentijn telah
menyenaraikan Sulalatus Salatin disamping Hikayat Hang Tuah dan Bustanatus
Salatin sebagai suatu karya yang wajib dibaca oleh orang Barat yang datang ke
Nusantara. Ini adalah kerana kehalusan bahasa yang digunakan, keindahan
pemikiran dan keteraturan adab yang disampaikan dalam karya tersebut akan membuatkan
sesiapa yang membacanya merasa terpesona dan terpana dengan ketinggian ilmunya.
Dengan ini, jelas menunjukkan bahawa Tun Sri Lanang telah berjaya menjalankan
tugasnya sebagai pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin dengan cukup hebat
sekali sehingga karya tersebut terus-terusan menjadi rujukan dan bahan
perbincangan dalam penulisan kesusasteraan Melayu hingga berabad lamanya.
Tun Sri Lanang bukan sahaja penyalin
biasa, bahkan beliau telah mengisi peranannya dari pelbagai sudut seperti
menyemak ketepatan fakta, meneliti cerita asal yang ditulis daripada pencerita,
menjadi perunding adat dan istiadat diraja, juga menyelaraskan kesempurnaan
gaya bahasa yang digunakan dalam keseluruhan teks. Naskhah Hikayat Melayu
bukanlah naskhah hikayat hiburan semata-mata tetapi merupakan naskhah yang
mengisahkan tentang raja-raja dan adat istiadat sesuatu negeri. Oleh itu,
sangat penting naskhah ini diberikan kepada orang yang tepat supaya boleh
dikemaskini dengan baik untuk tatapan generasi akan datang. Pemilihan Tun Sri
Lanang sebagai pengarang dan penyusun Sulalatus Salatin adalah orang yang tepat
kerana kebijaksaan yang ditunjukkan oleh beliau dalam karya tersebut. Tun Sri
Lanang telah mengakui kepengarangannya sebagai pengarang dan penyusun Sejarah
Melayu yang dinamai Sulalatus Salatin terserlah apabila beliau begitu yakin
dengan kesempurnaannya seperti yang dinyatakan dalam karyanya
“…maka
fakir karanglah hikayat ini, kama sami’tuhu min jaddi wa abi, supaya akan
menyukakan duli hadrat baginda. Maka fakir namai hikayat ini Sulalatus Salatin,
yakni pertuturan segala raja-raja, hazihi durratul-akhbar, wal amsal, inilah
mutiara segala ceritera dan cahaya segala peri umpamanya”
(A. Samad Ahmad, 1986:3)
Dengan terdapatnya Hikayat Melayu
ditangan Tun Sri Lanang telah menjadikan hikayat tersebut berubah daripada
catatan-catatan dan penceritaan yang tidak baku kepada sebuah karya yang cukup
indah bahasanya dan begitu sempurna dari segi kesusasteraan Melayu.
Wilkinson pernah menyatakan bahawa
tidak ada gunanya Tun Sri Lanang menumpukan perhatian terhadap penulisan
berbanding tugas mentadbir negeri. Tetapi itu hanya tepat apabila negeri berada
dalam keadaan aman sedangkan pada ketika itu negeri Johor sedang mengalami
pergolakan setelah diserang Portugis dan Aceh. Setelah Tun Sri Lanang dan
Sultan Alauddin Riayat Syah III serta Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah menetap
dalam pembuangan di Aceh, beliau telah bebas daripada segala tugas pentadbiran
negeri dan ini telah menbolehkan beliau menumpukan sepenuh perhatian penulisan
Sejarah Melayu. Pendapat A. Samad Ahmad
menyatakan bahawa Hikayat Melayu bukan dibawa dari Goa, India mahupun dari Gua
Sai, Pahang. Selain itu penulis ini juga memberi perhatian tentag keadaan dan
kedudukan Sultan Abdullah Maayat Syah sebagai Sultan yang telah memerintahkan
supaya naskhah Hikayat Melayu diperkemaskan, bukan kekandanya Sultan Alauddin
Riayat Syah III yang telah berangkat ke Aceh.
Sungguhpun dalam mukadimah Sejarah
Melayu ada menyebut tentang Sultan Abdullah Maayat Syah dan Tun Bambang, itu
hanyalah dalam naskhah Raffles 18 yang diterbitkan oleh Winstedt. A. Samad
Ahmad telah menyetujui bahawa perintah mengarang itu telah disampaikan oleh
Sultan Abdullah Maayat Syah walaupun Tun Sri Lanang ada menyatakan pada ketika
itu “zaman kerajaan Seri Sultan Alauddin Riayat Syah zillullahi fi’l’alam” (A.
Samad Ahmad, 1986:3)
Namun
pendapat ini disanggah oleh Teuku Iskandar yang mendakwa bahawa penulisan
Sulalatus Salatin ini dimulai di Johor dan disiapkan di Aceh ketika Sultan
Alauddin Riayat Syah III masih hidup.
Kesimpulannya, perbincangan
mengenai kepentingan Tun Sri Lanang ini telah berjaya mengupas tentang
penglibatan beliau dalam dunia penulisan kesusasteraan Melayu sekaligus
mengangkat nama beliau sebagai pengarang dan penyusun Sejarah Melayu atau yang
dinamai Sulalatus Salatin. Pengarangan Sejarah Melayu adalah suatu karya atau
manifestasi yang bersifat individualiti yang merujuk kepada pengarangnya iaitu
Tun Sri Lanang. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan Hikayat
Melayu sebuah karya yang begitu indah sekali dengan idea dan imaginasinya yang
bernas yang disampaikan dalam karya Sulalatus Salatin. Dengan definisi karangan
dalam Ilmu Mengarang Melayu tulisan Za’ba pada tahun 1934 telah menunjukkan dan
membuktikan bahawa Tun Sri Lanang adalah pengarang unggul yang menghasilkan
karya agung ini iaitu Sulalatus Salatin.
Rujukan:
http://bintangpelangiku.blogspot.com/2011/07/tun-sri-lanang-pengarang-dan-penyusun.html
Raja Ali Haji
Raja
Ali Haji merupakan seorang ulama, ahli sejarah serta tokoh yang terkenal dalam
arena bahasa. Nama sebenar beliau ialah
Raja Ali Haji bin Raja Ahmad dan beliau dilahirkan pada tahun 1808 Masihi di
pusat Kesultanan Riau-Lingga di Pulau Penyengat yang merupakan kawasan pentadbiran
keluarga beliau sendiri. Menurut sejarah daripada masyarakat yang mendiami
kawasan pulau tersebut, pulau ini merupakan kawasan di mana banyak karya
sastera dan kebudayaan Melayu telah terhasil oleh tokoh Melayu yang telah wujud
sepanjang abad ke-19 sehingga abad ke-20.Tokoh tersebut termasuklah Raja Ahmad
iaitu bapa Raja Ali Haji. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1873 Masihi
di tempat lahir beliau sendiri iaitu di Pulau Penyengat dan disemadikan di
kompleks makam ibunya iaitu Engku Putri Raja Hamidah. Di sepanjang dinding
bangunan makam beliau telah diabadikan karya beliau iaitu Gurindam Dua belas
yang mana berupaya mengingatkan pengunjung yang melawat makam tersebut kepada
beliau yang merupakan penulis yang hebat.
Minat beliau dalam bidang penulisan
ini diwarisi oleh ayahanda beliau iaitu Raja Ahmad.Raja Ahmad merupakan anak
sulung kepada Raja Haji. Beliau sangat meminati bidang sejarah dan pernah
menghasilkan sebuah karya berbentuk syair iaitu Syair Perang Johor yang
menceritakan berkenan peperangan yang berlaku antara Kesultanan Johor dan
Kesultanan Acheh pada abad ke-17. Selain itu, bapa Raja Ali Haji juga pernah
menyusun sebuah puisi berkenaan sejarah orang Bugis dan hubungannya dengan
raja-raja Melayu. Bakat dan minat menulis serta mengarang dalam diri Raja Ahmad
ini telah diwarisi oleh Raja Ali Haji. Hal ini demikian kerana sejak masih
remaja, beliau telah mengikut ayahandanya menyertai ekspedisi dan menerokai
segenap wilayah yang banyak memberikan pengalaman dan ilmu pengetahuan sehingga
beliau menjadi penulis yang hebat.
Raja Ali Haji memiliki pengetahuan
yang sangat luas dalam bidang agama Islam serta ilmu mentadbir. Hal ini
demikian kerana beliau rajin mempelajari ilmu agama daripada ulama tempatan dan
luar negeri. Memiliki ilmu pengetahuan yang banyak dalam bidang agama
menjadikan beliau sebagai seorang guru agama dan bahasa Arab di kawasan
petempatan beliau. Ramai anak muda tempatan mempelajari berkenaan ilmu agama dan
bahasa Arab daripada beliau. Beliau memiliki ilmu pentadbiran kerana sejak usia
20 tahun, beliau sudah diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab untuk
menjaga hal ehwal kenegaraan. Selain daripada kedua-dua ilmu tersebut, beliau
juga memiliki ilmu dalam pelbagai bidang lain seperti bidang bahasa, sastera,
sejarah serta undang-undang.
Latar
belakang keluarga
Keluarga
Raja Ali Haji merupakan sebuah keluarga yang berpengaruh di Riau. Hal ini
demikian kerana mereka merupakan keturunan kerabat diraja Riau. Datuk Raja Ali
Haji iaitu Raja Haji Fisabilillah merupakan Yang Dipertuan Muda (YDM) Riau yang
keempat dan diberi mandate menyandang jawatan YDM kerana usaha beliau
menjadikan Kesultanan Riau-Lingga sebagai sebuah pusat perdagangan terpenting
di Riau. Selain itu, beliau dipilih menjadi YDM kerana beliau merupakan seorang
yang terkenal dengan sifat keberanian kerana melawan penjajah Belanda. Sekitar
tahun 1756 M-1758 M, datuk Raja Ali Haji bersama sepupu beliau iaitu Daeng
Kemboja menjadi pemimpin pasukan Melayu yang berasal dari Linggi, Rembau,
Klang, Selangor dan Siak untuk melawan pihak Belanda dalam Perang Linggi.
Akhirnya, Raja Haji terbunuh dalam peperangan melawan Belanda yang dipimpin
oleh Jacob Pieter van Braam di Melaka pada 18 Jun 1784 M.
Bapa Raja Ali Haji iaitu Raja Ahmad
dilahirkan pada sekitar tahun 1773 M dan merupakan orang yang terawal dalam
kumpulan anak raja Bugis yang menunaikan fardhu haji. Beliau telah menghasilkan banyak karya
sastera dan salah satunya ialah Taufat al-Nafis yang bermaksud Bingkisan
Berharga yang menceritakan sejarah Melayu.Tuhfat al-Nafis ini ditulis oleh Raja
Ahmad dan disambung pula penulisannya oleh anaknya, Raja Ali Haji. Selain itu,
beliau juga mengarang Syair Ungku Puteri (1835), Syair Raksi (1841) dan Syair
Perang Johor (1843).Beliau banyak menulis karya berkenaan sejarah kerana beliau
dikenali sebagai pemerhati sejarah lampau.Syair Perang Johor yang ditulis oleh
beliau mengandungi fakta perang Kesultanan Johor dan Kesultanan Aceh pada zaman
kegemilangan Johor.
Keluarga Raja Ali Haji ini
merupakan keluarga yang berjaya melahirkan ramai individu yang terpelajar dan
cenderung melibatkan diri dalam dunia penulisan. Ahli keluarga mereka yang
pernah melibatkan diri dalam bidang penulisan ialah Raja Ahmad, Raja Haji Daud,
Raja Salehah, Raja Abdul Mutalib, Raja Kalsum, Raja Safiah, Raja Sulaiman, Raja
Hasan, Hitam Khalid, Aisyah Sulaiman, Raja Ahmad Tabib, Raja Haji Umar dan Abu
Muhammad Adnan. Raja Ali Haji ini merupakan ulama yang berketurunan Bugis yang
mana neneknya iaitu Opu Daeng Cellak merupakan orang asal Bugis tetapi
kemudiannya menetap di Riau seterusnya menyandang jawatan sebagai pembantu
sultan dalam hal ehwal pemerintahan negara.
Raja Ali Haji memiliki lebih
daripada seorang isteri. Isteri pertama beliau bernama Sulung dan isteri kedua
beliau pula bernama Raja Halimah dan memiliki seorang anak perempuan iaitu Raja
Kalthum yang merupakan pengarang Syair Saudagar Bodoh dan seorang anak lelaki
iaitu Raja Hasan yang merupakan pengarang Syair Burung. Selain itu, Raja Ali
Haji juga telah berkahwin dengan Daing Cahaya dan dikurniakan beberapa orang
cahaya mata.
Pendidikan
Raja Ali Haji
Sejak
kecil lagi Raja Ali Haji telah dididik untuk menuntut ilmu kerana keluarga
beliau memang sebuah keluarga yang mementingkan ilmu pengetahuan. Oleh hal yang
demikian, beliau terus menuntut ilmu dalam pelbagai bidang seperti sejarah,
kesusasteraan Melayu, keagamaan dan bahasa. Setelah berpuluh tahun menuntut
ilmu dan merasakan ilmu tersebut wajar dikongsi bersama orang lain, akhirnya
beliau menjadi seorang guru dan penulis dalam bidang yang pernah dipelajari.
Raja
Ali Haji Menuntut Ilmu
Raja
Ali Haji telah dibawa untuk menuntut ilmu oleh bapanya sejak kecil lagi. Ketika Raja Haji Ahmad menjadi utusan
kerajaan Riau ke Betawi untuk berjumpa dengan Gabenor Baron Van der Capellen,
beliau membawa Raja Ali Haji bersama untuk memberikan peluang kepada anaknya
untuk mendalami ilmu pengetahuan terutamanya ilmu agama Islam. Hal ini demikian kerana, ketika beliau
menjadi utusan, beliau telah menemui ramai ulama yang terkenal dalam bidang
ilmu agama Islam seperti Saiyid Abdur Rahman al-Mashari. Ketika menemui ulama
ini, Raja Ali Haji telah berkesempatan untuk mempelajari ilmu falak.
Selain ke Betawi, Raja Ali Haji
juga telah mengikut bapanya ke Mekah. Berdasarkan sejarah, Raja Haji Ahmad dan
Raja Ali Haji merupakan keturunan Raja Riau yang terawal menunaikan ibadah haji
iaitu kira-kira tahun 1243 Hijrah. Mereka tinggal di Tanah Suci Mekah dalam
jangka masa yang agak lama. Ketika mereka menetap di sana, Raja Ali Haji
berpeluang untuk menuntut ilmu keislaman dan ilmu bahasa Arab dengan Syeikh
Daud bin Abdullah al-Fathani yang pada ketika itu merupakan Ketua Syeikh Haji
yang sangat berpengaruh dalam kalangan masyarakat setempat. Dalam perjalanan
pulang ke Riau dari Mekah, mereka berkesempatan untuk singgah di Kaherah untuk
menimba serba sedikit ilmu di sana.
Selain daripada ilmu keagamaan yang
mencakupi ilmu fardhu ain, fiqh ilmu falak dan bahasa Arab, Raja Ali Haji
berminat untuk mempelajari hal-hal kebudayaan. Beliau mula menggemari bidang
kebudayaan hasil daripada ilmu pengetahuan yang diperoleh hasil daripada
persahabatan beliau dengan beberapa orang sarjana kebudayaan dari Belanda
seperti Van Der Waal dan T. Roode. Beliau bukan sahaja cenderung dalam budang
keagamaan dan kebudayaan, malah beliau juga memiliki ilmu pengetahuan dalam
bidang lain seperti bidang bahasa, sastera, sejarah, pentadbiran dan
undang-undang. Kehebatan dan usaha tanpa jemu beliau menuntut ilmu dalam
pelbagai bidang menjadikan beliau seorang ulama dan tokoh yang hebat juga dalam
pelbagai bidang ilmu. Berdasarkan ilmu yang diperoleh, beliau telah berjaya
menjadi pendidik dan menghasilkan pelbagai karya hebat yang boleh dijadikan
panduan dan rujukan masyarakat terdahulu hingga kini.
Raja
Ali Haji Sebagai Guru
Raja
Ali Haji sememangnya sudah terkenal dengan kebijaksanaan dan kepimpinan beliau
sejak beliau masih muda lagi. Dalam usia yang masih muda, beliau telah menjadi seorang guru agama yang
terkenal. Ketika Raja Ali bin Raja Jaafar diangkat sebagai Yamtuan Muda Kerajaan
Riau VII iaitu pada tahun 1845 hingga tahun 1857, Raja Ali Haji telah dilantik
menjadi penasihat keagamaan negara dan diminta untuk mengajar agama Islam. Raja
Ali bin Raja Jaafar yang ketika itu telah menggantikan Raja Abdul Rahman bin
Raja Haji juga turut mempelajari ilmu agama dengan Raja Ali Haji. Beliau
memiliki pengetahuan yang sangat luas dalam bidang keagamaan kerana beliau
telah menuntut ilmu keagamaan daripada ulama terkemuka seperti Saiyid Abdur
Rahman al-Mashari yang ditemuinya ketika beliau mengembara sambil menuntut ilmu
bersama bapanya.
Setelah agak lama berkecimpung
dalam bidang pendidikan keagamaan, Raja Ali Haji menceburkan diri dalam bidang
pendidikan yang terdiri daripada bidang Sejarah dan bahasa. Ketika itu, beliau telah menjadi pendidik
dalam bidang Ilmu Nahu, Ilmu Sharaf, Ilmu Usuluddin, Ilmu Fiqh, Ilmu Tasauf dan
pelbagai bidang ilmu yang lain. Ramai penduduk tempatan terutamanya anak muda
dan ulama yang datang berdagang ke tempat beliau mengambil kesempatan untuk
mempelajari ilmu agama serta ilmu lain daripada beliau. Selain itu, kebolehan
beliau menguasai beberapa bahasa seperti bahasa Melayu, bahasa Hindustan,
bahasa Tamil dan bahasa Inggeris telah menarik minat sekumpulan askar Inggeris
yang berbangsa India untuk belajar bahasa Inggeris agar mereka mudah untuk
berinteraksi dengan askar yang orang putih.
Bakat Kepengarangan Raja Ali Haji
Raja
Ali Haji merupakan seorang tokoh karya agung yang telah banyak menerbitkan
karya sendiri sama ada buku tatabahasa, kamus serta syair. Beliau dianggap
sebagai seorang pujangga Melayu yang sangat terkemuka dalam sejarah
kesusasteraan Melayu tanah air. Setelah diangkat sebagai pujangga yang telah
terkenal dalam dunia kesusasteraan Melayu, beliau memiliki impian untuk
memperbaiki bangsa dan berharap agar bangsa Melayu maju di dunia dan akhirat
serta hidup dalam kemuafakatan serta berlandaskan hukum syariat. Impian beliau
ini banyak diluahkan melalui karyanya yang mana dapat dilihat bahawa kebanyakan
karya beliau adalah berkisarkan kepada ketatanegaraan dan keagamaan. Unsur
keagamaan ini jelas dapat dilihat melalui syair-syair beliau.
Selain Raja Ali Haji, ramai juga
ahli keluarga beliau yang terlibat dalam bidang syair. Antaranya ialah bapanya iaitu Raja Ahmad yang
mengarang Syair Ungku Puteri, Raja Hasan dan Raja Sufiah iaitu anak beliau yang
mengarang Syair Burung dan Syair Kumbang Mengindera, manakala kakak kepada Raja
Hasan dan Raja Sufiah iaitu Raja Kalthum telah menulis Syair Saudagar Bodoh. Ada
antara cucu Raja Ali Haji yang menjadi pengarang serta penulis syair yang
terkenal dalam arena kesusasteraan Melayu. Antara syair yang ditulis oleh Raja
Ali Haji ialah Syair Siti Sianah, Syair
Suluh Pegawai, Syair Hukum Nikah dan Syair Sultan Abdul Muluk. Semua syair hasil tulisan beliau ini adalah
berdasarkan kepada kehidupan sebenar masyarakat sekeliling. Hal ini demikian
kerana beliau dianggap sebagai Bapa Permodenan Melayu kerana beliau menulis
sesuatu berdasarkan kisah benar dan tidak pernah menulis cerita-cerita mitos
seperti pengarang lain sebelumnya.
Selain aktif mengarang syair,
beliau juga menceburkan diri dalam bidang lain dengan lebih meluas. Atas cadangan saudaranya sendiri iaitu Raja
Ali yang merupakan Yamtuan Muda Kerajaan Riau VIII, beliau telah berjaya
menghasilkan beberapa karya yang berkisarkan nahu bahasa Melayu iaitu Kitab
Bustanul Katibin Lisubyanil-Muta’alimin yang membawa maksud Kitab Perkebunan
Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Menuntut Belajar Akan Dia. Karya ini
telah dihasilkan pada 20 Syaaban 1273 bersamaan 15 April 1857 dan ia telah
dicap dengan cap batu di Penyengat.
Beliau turut mengarang kamus yang diberi nama Kitab Pengetahuan
Bahasa yang telah mula disusun sejak
tahun 1858 dan memiliki 465 muka surat.
Seperti yang kita sedia tahu, Raja
Ali Haji ialah individu yang berketurunan Bugis dan beliau juga memiliki
pengetahuan dalam pentadbiran kerana beliau merupakan salah seorang ahli keluarga
kerabat pemerintah di Riau. Mungkin kerana minat beliau untuk mendalami susur
galur keturunan beliau, beliau telah menulis sebuah karya berjudul Kitab
Salasilah Melayu dan Bugis Lama dan Sekelian Raja-rajanya pada tahun 1282 H. Kitab
ini juga ditulis sebagai panduan generasi akan datang yang berminat untuk
mengetahui dan mengkaji salasilah masyarakat Bugis. Menerusi karya ini, dapat
dilihat bahawa beliau telah memasukkan unsur syair serta pantun untuk
menjadikan penulisan beliau lebih menarik.
Sebuah lagi karya beliau ialah
Tuhfat al-Nafis yang merupakan karya yang terbaik pernah dihasilkan dan mengandungi sejarah raja-raja Melayu dan
Bugis. Kitab ini merpuakan kitab sejarah dan melalui kitab inilah Raja Ali Haji
menulis dengan peranan beliau sebagai sejarawan tanpa memasukkan unsur atau
bidang lain seperti bidang bahasa, kesusasteraan mahu pun bidang keagamaan
sebagai fokus utama. Beliau menulis Tuhfat al-Nafis ini berdasarkan pengalaman
serta kejadian yang pernah dilihat sendiri di sekelilingnya. Kisahnya ketika
kecil seperti mengikut bapanya mengembara turut tercatat dalam karya paling
besar yang dihasilkan oleh beliau ini.
Karya
Raja Ali Haji
Seperti
yang kita sedia maklum, Raja Ali Haji menulis banyak karya dalam pelbagai
bidang. Hal ini demikian kerana beliau memiliki kepakaran dan kemahiran dalam
pelbagai bidang. Beliau telah menghasilkan banyak syair, kitab bahasa,
kesusasteraan dan kitab berkenaan salasilah keturunan beliau sendiri.
Puisi-puisi
Raja Ali Haji
Raja
Ali Haji telah mengarang banyak puisi dan semua puisi ini ditulis berdasarkan
kepada pengalaman dan pemerhatian terhadap keadaan sekeliling. Antara puisi
hasil tulisan beliau ialah Inilah Ikat-ikatan Dua Belas Puji, Gurindam Dua
Belas, Syair Hukum Faraid, Syair Suluh Pegawai, Syair Gemala Mastika Alam,
Syair Nasihat (Thamarat al-Muhimmah), Syair Siti Sianah, Syair Gemala Mestika
Alam dan Syair Sultan Abdul Muluk. Kebanyakan puisi berbentuk syair yang telah
dikarang oleh beliau memiliki unsur pengajaran yang sangat sesuai dijadikan
panduan oleh masyarakat pada zaman beliau dan generasi akan datang.
Gurindam
Dua Belas
Puisi
ini merupakan puisi beliau yang sangat terkenal dan masa ini ia digunakan
sebagai salah satu antologi puisi yang terkandung dalam Antologi Puisi dan Cerpen Harga Remaja yang
menjadi teks Komponen Sastera (KOMSAS) dalam pengajaran dan pembelajaran bagi
pelajar tingkatan empat. Hal ini demikian kerana, bait-bait puisi ini sarat
dengan unsur nasihat yang sangat berguna kepada masyarakat. Gurindam ini diberi
nama Gurindam Dua Belas kerana ia mengandungi dua belas fasal dan juga dua belas
rangkap yang mana setiap satu fasal terkandung dalam satu rangkap gurindam.
Sebelum memulakan penulisan puisi
ini, beliau terlebih dahulu menulis serba sedikit berkenaan puisi seperti kata
aluan yang mengandungi tarikh gurindam ditulis, pengarang serta kebaikan yang
boleh diperoleh daripada gurindam ini iaitu:
“Amma
ba’du daripada itu, maka tatkala sampai Hijratu’l-Nabi 1263, sanat, kepada dua
puluh hari tiga, bulan Rajab hari Selasa maka diilhamkan Allah Taala kepada
kita iaitu Raja Ali Haji, mengarang satu gurindam cara Melayu iaitu yang boleh
juga jadi diambil faedah sedikit-sedikit daripada perkataannya itu pada orang
yang ada menaruh akal, maka adalah banyaknya gurindam itu dua belas fasal di
dalamnya”
(Drs. Shalleh Saidi, 1969)
Berdasarkan
kepada pernyatan di atas, didapati bahawa gurindam ini telah ditulis pada 23
Rejab 1263 H iaitu pada hari Selasa dan telah dikarang oleh Raja Ali Haji. Menurut
pernyataan di atas lagi, gurindam ini mengandungi 12 fasal. Melalui gurindam
ini, beliau memberikan definisi perkataan ‘gurindam’ adalah berbeza dengan
syair kerana syair tidak memiliki jawapan, sebaliknya gurindam terdiri daripada
soalan dan jawapan. Seperti yang diterangkan, baris kedua gurindam ialah
jawapan, manakala baris pertama pula merupakan soalan kepada jawapan tersebut.
Setiap puisi terdiri daripada
beberapa ciri yang tersendiri. Begitu juga dengan gurindam ini.Gurindam Dua
Belas terdiri daripada rima akhir aa dan setiap rangkap hanya terdiri daripada
dua baris sahaja. Daripada aspek bilangan perkataan pula, setiap baris dalam
gurindam ini hanya terdiri daripada dua hingga enam perkataan dan dalam
gurindam ini juga banyak mengandungi perkataan bahasa Arab seperti perkataan
‘makrifat’. Selain itu, beliau juga menulis gurindam ini seolah-olah pembaca
memahami perkara yang ingin disampaikan. Sebagai contoh, beliau menulis,
“Barang siapa mengenal yang empat” tetapi beliau tidak memberikan penerangan
berkenaan empat perkara yang hendak disebutkan itu.
Nasihat yang ingin disampaikan
melalui gurindam ini ialah berkenaan hal-hal keagamaan. Keseluruhan fasal yang
terkandung dalam gurindam ini menasihati masyarakat agar taat dengan perintah
Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Sebagai contoh, melalui fasal 1.1, Raja
Ali Haji menerangkan bahawa individu yang sangat taat dan patuh kepada agama
dianggap berjaya dalam kehidupan di dunia berbanding manusia yang tidak
taat.Fasal 2.2 pula membicarakan berkenaan rukun Islam yang pertama iaitu
berkenaan solat. Seperti yang kita sedia maklum, solat merupakan tiang kepada
agama Islam. Oleh hal yang demikian, dalam gurindam ini, beliau menyatakan
bahawa individu yang meninggalkan solat sama seperti rumah yang tidak bertiang.
Selain isu keagamaan, gurindam ini juga mengandungi nasihat yang meminta agar
setiap individu memelihara tingkah laku agar berkelakuan senonoh dan ada juga
nasihat beliau yang mempunyai kaitan dengan pergaulan dalam kehidupan
bermasyarakat iaitu pada fasal keenam dan ketujuh.
Syair
Suluh Pegawai
Pada
zaman dahulu, syair ini tidak mempunyai nama, namun ia masih terkenal dalam
kalangan sarjana Barat. Hal ini demikian kerana mereka mengenali syair ini
dengan nama lain iaitu Syair Hukum Nikah atau Syair Kitab al-Nikah. Syair ini
disimpan di Perpustakaan Universiti Leiden dan ia bertarikh 1307 Hijrah bersamaan
1899 Masihi. Nama Syair Suluh Pegawai ini telah wujud akibat penemuan teks ini
bersama-sama Syair Siti Sianah dan satu naskah lagi dalam bentuk bercetak dan
telah dicetak oleh Matba’ah al-Ahmadiah, Singapura bertarikh 17 Rabiul Awal
1342 Hijrah. Naskah yang dicetak pada 1342 Hijrah merupakan teks Syair Suluh
Pegawai naskah Pulau Penyengat.
Naskah Syair Suluh Pegawai yang
bernama Syair Hukum Nikah pada awalnya mengandungi dua bahagian. Bahagian yang
pertama bermula daripada halaman satu hingga halaman 12 dan ia mengandungi 81
rangkap. Bahagian pertama ini adalah berkenaan dengan harta pusaka dan dinamakan
sebagai Syair Hukum Faraid. Usai penulisan rangkap terakhir bagi Syair Hukum
Faraid, terus sahaja karya ini dimulakan dengan frasa ‘Fasal yang Pertama’ dan
ini membawa maksud pengarang sudah memulakan penulisan Syair Hukum Nikah. Teks
Syair Suluh Pegawai naskah Pulau Penyengat pula didahului dengan tiga rangkap
syair sebagai pengenalan. Perkara ini berbeza dengan versi Syair Hukum Nikah
yang mana ia memiliki pengenalan yang sangat pendek kerana ia sudah ada
pengenalan pada bahagian harta pusaka.Syair ini terdiri daripada dua bahagian
perbincangan iaitu mengenai hukum syariah dan tasawuf.
Syair Suluh Pegawai dalam Syair
Hukum Nikah menceritakan soal perkahwinan merangkumi aspek hukum melihat
perempuan, syarat saksi, saudara susuan, walimatul urus, Qismah dan Nusyuz,
talak, idah dan memelihara anak. Antara perkara yang dibincangkan dalam syair
ini ialah ciri-ciri perempuan yang boleh dijadikan isteri, syarat memandang
perempuan, perkara yang diharamkan nikah, larangan meminang tunangan orang dan
syarat harus berkahwin. Syair ini terdiri daripada 13 fasal. Fasal pertama
berkenaan rukun nikah, fasal kedua berkenaan kufu, fasal ketiga mengenai mas
kahwin, fasal keempat mengenai walimah, fasal kelima berkenaan Qismah dan
Nusyuz, fasal keenam adalah berkenaan tanda-tanda derhaka, fasal ketujuh
berkenaan tebus talak, fasal kelapan mengenai bilangan talak, fasal kesembilan
berkenaan idah, fasal kesepuluh berkenaan istibra’, fasal kesebelas berkenaan
rida’, fasal kedua belas mengenai nafkah dan fasal yang terakhir adalah
mengenai al-Hadanah iaitu hak penjagaan anak.
Syair
Siti Sianah
Syair
Siti Sianah terdiri daripada dua versi yang berbeza iaitu ia ditampilkan dalam
versi naskah dan versi yang bercetak. Versi naskah ini merupakan versi Syair
Siti Sianah yang digabungkan dengan Syair Suluh Pegawai yang mana ia ditulis
bermula pada halaman satu hingga halaman 70. Sebelum memulakan penulisan isi
syair, Raja Ali Haji telah memulakannya dengan pendahuluan yang terdiri
daripada sembilan rangkap dan ditulis dengan menggunakan bahasa Arab. Hal ini
demikian kerana Raja Ali Haji mahir dalam beberapa bahasa dan salah satunya
ialah bahasa Arab. Seperti yang kita ketahui, Syair Suluh Pegawai ini adalah
nasihat kepada kaum lelaki, manakala Syair Siti Sianah ini pula merupakan
nasihat yang diberikan oleh raja Ali Haji kepada kaum wanita. Setiap kaum
wanita masa dahulu dan sekarang digalakkan untuk memahami syair ini untuk
mendapatkan iktibar dan seterusnya mengaplikasikan dalam kehidupan seharian. Perkara
ini penting agar kaum wanita menjaga maruah dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Syair ini terdiri daripada 574
rangkap yang mana setiap rangkap terdiri daripada empat baris dan setiap baris
terdiri daripada kira-kira empat hingga enam perkataan. Syair Siti Sianah ini
dibahagikan mengikut perkara yang ingin dibincangkan dalam setiap rangkap
syair. Oleh hal yang demikian, setiap rangkap syair yang memiliki perkara yang
sama ingin diceritakan akan dikumpulkan dalam tajuk kecil. Dalam syair ini
terdiri daripada 64 tajuk kecil dan antara tajuk kecil dalam syair ini ialah
Perkataan Rawi, Kenyataan Bersuci, Fasal Sembahyang Berjemaah, Muafakat kerana
Menuntut Ilmu dan Makna Riak. Penulisan syair ini mencampurkan penggunaan
bahasa Melayu dan bahasa Arab, tetapi bahasa Arab yang digunakan adalah
sedikit. Antara perkataan bahasa Arab yang digunakan ialah adabu’l yang membawa
maksud adat dan al-Walidi yang bermaksud bapa.
Syair
Sinar Gemala Mastika Alam
Syair
ini merupakan syair terjemahan yang telah diterjemah oleh Raja Ali Haji
daripada sebuah buku bahasa Arab yang tidak diketahui tajuknya. Syair ini
terdiri daripada dua jenis iaitu dalam bentuk naskah dan bercetak, namun, yang
telah disediakan dalam bentuk naskah ini tidak ditemui. Teks Syair Sinar Gemala
Mastika Alam dalam bentuk bercetak telah dicetak oleh Mathba’atu-l-Riauwiyah,
Pulau Penyengat pada 1311 Hijrah. Syair yang memiliki tajuk yang sangat indah
ini mengandungi 111 rangkap dan ia merupakan syair yang berbentuk fiksyen
seperti Syair Dandan Setia dan Syair Bidasari. Perkataan gemala dan mastika
yang terdapat dalam judul syair ini merujuk kepada sesuatu yang akan menerangi
dunia dan dalam konteks syair ini, gemala yang dimaksudkan oleh pengarang ialah
perjuangan Nabi Muhammad S.A.W dalam usaha membangunkan serta menegakkan agama
Islam. Syair ini adalah syair yang menceritakan riwayat hidup serta biografi
baginda S.A.W yang disanjung oleh masyarakat.
Syair ini terdiri daripada 19
rangkap yang merupakan mukadimah atau pengenalan kepada syair, fasal pertama
dan kedua yang terdiri daripada 12 rangkap syair yang menceritakan berkenaan
kejadian yang berlaku ketika kelahiran baginda, fasal ketiga yang terdiri
daripada enam rangkap syair pula menceritakan pengalaman Rasulullah ketika
masih kanak-kanak, fasal keempat menceritakan kisah Nabi ketika berusia 12
tahun dan berada bawah jagaan bapa saudaranya, fasal kelima pula menceritakan
pengalaman Nabi berniaga dan perkahwinan Baginda dengan Siti Khadijah, fasal
keenam adalah berkenaan perlantikan Nabi sebagai Rasul apabila baginda telah
menerima wahyu, fasal ketujuh pula menceritakan kisah Nabi yang membawa seruan
agama dan fasal yang terakhir adalah berkenaan perjuangan Nabi mengembangkan
agama Islam walaupun telah ditentang oleh pelbagai pihak.
Syair
Sultan Abdul Muluk
Syair
Sultan Abdul Muluk ini diterbitkan dalam tujuh edisi yang mana empat
daripadanya adalah teks berbentuk naskah, manakala tiga yang lainya adalah teks
berbentuk cetakan. Teks-teks ini telah diterbitkan pada tahun yang berlainan
dan diterbitkan oleh penerbit yang berbeza. Suatu perkara yang unik berkenaan
teks ini ialah kesemua teks tidak dituliskan nama pengarangnya kecuali teks
yang telah diterbitkan oleh Roorda van Eysinga. Telah dikatakan bahwa syair ini
bukan hasil tulisan Raja Ali Haji, sebaliknya telah ditulis oleh adiknya, Zaleha
pada tahun 1262 Hijrah, namun P. Roodra van Eysinga telah mendakwa bahawa Raja
Ali Haji merupakan pengarang syair ini. Hal ini demikian kerana, ada yang
menyatakan bahawa kedua-dua individu ini telah hidup pada zaman yang sama dan
sering berutus surat. Dalam surat kedua Raja Ali Haji kepada van Eysinga
menyatakan bahawa beliau telah mengirimkan syair yang telah diubahsuai daripada
prosa Hikayat Sultan Abdul Muluk.
Syair ini adalah syair yang
berbentuk fiksyen iaitu berbentuk ilmiah dan latar belakang di dalam syair ini
adalah di beberapa tempat seperti di Barbari, Ban dan Hindustan. Antara
pengajaran dan nasihat yang diperoleh melalui Syair Sultan Abdul Muluk ini
ialah kegigihan seorang wanita yang membela kesusahan yang dialami oleh
suaminya sendiri.
Kitab
Bahasa Raja Ali Haji
Selain
daripada puisi-puisi yang terdiri daripada pelbagai syair, Raja Ali Haji turut
menyediakan karya dalam bidang bahasa dan pelbagai bidang lain. Beliau memiliki
pengetahuan yang meluas dalam pelbagai bidang sehingga beliau terdorong untuk
menghasilkan kitab berkenaan bidang bahasa.
Bustanul-Katibin
Lisubyanil-Muta’alimin
Kitab
Bustanul-Katibin Lisubyanil-Muta’alimin merupakan kitab yang ditulis dalam
bentuk cap batu pada 20 Syaaban 1237 Hijrah bersamaan 15 April 1857 di Pulau
Penyengat. Kitab ini telah ditulis atas cadangan oleh Yamtuan Muda Raja Ali
yang pada ketika itu menuntut ilmu dengan Raja Ali Haji. Judul kitab ini
bermaksud Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Menuntut
Belajar akan Dia. Kitab ini terdiri daripada pendahuluan, 31 fasal dan ia dibahagi
kepada dua dan penutup. Ia diterbitkan dengan ketebalan 70 muka surat. 31 fasal yang terkandung dalam kitab ini
telah dibahagikan kepada dua iaitu satunya ia berkenaan penulisan bahasa Melayu
dan yang keduanya adalah tentang nahu bahasa Arab yang telah disesuaikan dengan
bahasa Melayu.
Kitab ini adalah kitab yang
mengandungi pelajaraan ejaan dan tatabahasa yang sesuai dijadikan rujukan oleh
kanak-kanak dan ia juga mengajarkan cara untuk menterjemah huruf Arab ke dalam
bahasa Melayu. Pada bahagian pertama kitab ini, ia hanya menerangkan berkenaan
ejaan dan tatabahasa, manakala pada bahagian kedua pengarang berusaha untuk
menyesuaikan sistem bahasa Melayu dengan nahu bahasa Arab tetapi usaha beliau
agak kurang berhasil kerana dikatakan bahawa ayat yang terkandung dalam bab dua
tersebut adalah ayat-ayat Arab yang telah menggunakan perkataan Melayu. Pada 19
April 1896, von de Wall yang merupakan rakan kepada Raja Ali Haji telah membuat
ulasan berkenan kitab ini dan menyatakan bahawa beliau tidak berpuas hati
dengan penulisan Raja Ali Haji di dalam kitab tersebut.
Kitab
Pengetahuan Bahasa
Kitab
Pengetahuan Bahasa merupakan sebuah lagi kita yang dianggap popular berbanding karya
Raja Ali Haji yang lain. Kitab ini telah disusun pada tahun 1858 dan telah
dicetak pada tahun 1929 di Singapura. Kitab ini merupakan sebuah kamus yang
lebih sesuai dikatakan sebagai ensilklopedia yang dalamnya terdiri daripada
pengetahuan, pendapat dan pandangan pengarang berkenaan perkataan yang terkandung
dalam kitab ini. Seperti yang kita sedia maklum, perkataan yang terkandung
dalam kamus masa ini telah disusun mengikut abjad agar dapat memudahkan
pencarian perkataan beserta makna, namun perkara sebaliknya berlaku dalam Kitab
Pengetahuan Bahasa kerana ia tidak disusun mengikut abjad. Kitab yang telah
disusun oleh Raja Ali Haji ini tidak sempat disiapkan dan hanya siap disusun
sehingga huruf ‘cha’ sahaja.
Melalui kitab ini, Raja Ali Haji
menyatakan bahawa orang melayu yang menggunakan perkataan ‘bilang’ bagi
menggantikan perkataan ‘kata’ dan ‘kasi’ menggantikan perkatan ‘beri’ telah
dikatakan telah merosakkan bahasa sendiri. Selain itu, beliau turut menuliskan
bahawa orang Melayu yang menghisap cerutu iaitu rokok daun yang dibalut dengan tembakau
dan jalan beriringan dengan orang Eropah. Hal ini demikian kerana, menurut
beliau kebudayaan Barat dianggap tidak bersesuaian dengan kebudayaan dan gaya
hidup masyarakat Melayu.
Rujukan:
http://duniakaryaagungku.blogspot.com/2013/05/keindahan-retorik-melayu-klasik-dalam.html
Abdullah Munsyi
Abdullah
Munsyi atau nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Beliau
telah dilahirkan pada tahun 1796, di kampung Pali Melaka. Beliau merupakan anak
bongsu dari empat orang adik beradik dan telah kematian ketiga-tiga abangnya
sejak kecil lagi. Ayahnya berketurunan Arab Yaman manakala ibunya Salamah
berketurunan dari India. Sejak kecil dia telah diajar mengaji Al-Quran dan
tulisan Jawi serta tatabahasa bahasa Melayu oleh bapanya. Beliau juga turut
belajar bahasa Tamil, Hindi dan juga bahasa Inggeris.
Usianya baru menjangkau 11 tahun
tetapi dalam usia semuda itu, kepintaran dan banyak ilmunya menyebabkan beliau
sudah menjadi guru dan mengajar pelajaran agama kepada askar Islam Melaka yang
lebih tua daripada usianya. Membesar sebagai manusia yang berpengetahuan dan
cintakan ilmu, Abdullah Abdul Kadir atau lebih dikenali sebagai ‘Abdullah
Munsyi’, kemudian menjadi antara penduduk Melaka yang sangat dihormati dan
dikagumi penjajah ketika itu iaitu Inggeris. Kehadiran Abdullah membuktikan
kepada Inggeris bahawa dalam masyarakat Melaka yang dijajah mereka, ada golongan
intelek tempatan yang hebat. Daripada Abdullah jugalah kemudian penjajah
Inggeris itu berguru mempelajari Bahasa Melayu.
Beliau dilahirkan pada 1796 di
Kampung Masjid yang juga disebut orang sebagai Kampung Pali ketika itu. Anak
bongsu daripada empat beradik tetapi ketiga-tiga abangnya meninggal dunia
ketika kecil iaitu berusia antara setahun hingga tiga tahun. Keturunannya
bermula daripada seorang pemuda Arab Yaman, Syeikh Abdul Kadir yang mengembara
dari Tanah Arab sehingga ke Nagor, India Selatan dan berkahwin dengan gadis
tempatan serta menetap di tanah asing itu. Dari situ, lahir datuk Abdullah,
Muhammad Ibrahim yang meneruskan tradisi bapanya mengembara sehingga tiba di
Melaka dan menetap di negeri itu. Berkahwin dengan gadis dikenali Peri Achi,
mereka memperoleh bapa Abdullah, Abdul Kadir.
Abdul Kadir membesar bersama
pendidikan yang cukup dalam bidang al-Quran, bahasa Tamil dan Arab serta ilmu
kira-kira. Dia kemudian menjadi peniaga di Hulu Melaka di samping mengajar ilmu
agama sehingga dipilih menjadi khatib di Kampung Lobok Kepong. Tahap
pengetahuan tinggi hasil tumpuan didikan dalam keluarganya menyebabkan Abdul
Kadir dilantik menjadi penulis surat sultan dan mengajar seorang asing, Tuan
Marsden berbahasa Melayu. Seterusnya dia menjadi Syahbandar, utusan Inggeris ke
negeri Melayu serta juru bahasa dan juru tulis. Abdul Kadir kemudian mendirikan
rumah tangga dua kali dan kali kedua bersama gadis keturunan Hindu dari Kedah,
Salamah pada 1794. Hasil perkahwinan itu, Abdul Kadir dikurniakan empat cahaya
mata termasuk Abdullah tetapi tiga lagi anaknya meninggal dunia ketika masih
bayi dan pada zaman kanak-kanak.
Walaupun hidup Abdullah ketika kecil
sering sakit terutama selepas usianya menjangkau empat bulan, keadaan itu
menyebabkan ibunya tidak dapat menyusui bayi itu lalu Abdullah disusui orang
lain. Sewaktu bapanya berniaga di luar negeri, Abdullah dan ibunya tinggal
bersama neneknya, Peri Achi. Peri Achi sangat memanjakan Abdullah sehingga
menimbulkan kekhuatiran di hati Abdul Kadir. Bimbang si bapa, Abdullah akan
lalai dalam pelajaran tetapi ketika mengingatkan yang keluarga mereka sangat
serius dalam menuntut ilmu, gusar di hati sedikit tenang. Tambahan pula ibunya,
Peri Achi seorang guru besar di Kampung Pali yang mengajar lebih 200
kanak-kanak menulis dan mengaji al-Quran. Ibarat ‘kuah tumpah ke nasi’,
semangat cintakan ilmu disemai ke dalam jiwa Abdullah sejak kecil. Ketika kanak-kanak
lain diberikan pelbagai permainan, Abdullah menerima permainan berupa kalam dan
papan tulis.
Adat kanak-kanak, penekanan
terlampau terhadap pembelajaran terutama oleh bapanya menyebabkan Abdullah
memprotes lantaran dia tidak dapat bermain dan bergembira bersama rakan seusia.
Abdul Kadir sangat tegas dengan anaknya walaupun itulah anak tunggal. Dia tidak
memuji Abdullah walaupun kerap berbangga dengan pencapaiannya kerana
beranggapan pujian akan merosakkan si anak. Hasil didikan itu menyebabkan Abdullah
menjadi pintar dan kreatif berbanding kanak-kanak lain. Abdullah cepat matang
malah memiliki sikap berdikari sehingga pada usia kanak-kanaknya, dia sudah
menjual layang-layang, melukis, menulis surat dan menyalin al-Quran untuk
memperoleh wang.
Gelaran ‘Munsyi’ yang bermaksud
‘guru’ sudah diterima ketika dia berusia 11 tahun kerana pada usia semuda itu,
kepintarannya dan banyak ilmunya menyebabkan dia sudah menjadi guru dan
mengajar pelajaran agama kepada askar Islam Melaka. Abdullah adalah seorang
yang gigih belajar. Dia tidak mengira siapa atau mana asal usul gurunya asalkan
dia mendapat pengetahuan baru. Paling digemarinya adalah bidang bahasa dan
tanpa jemu dia meluaskan pengetahuan mengenai kata dari aspek simpulan, ikatan,
rangkai kata, kuasa, tujuan dan ilmu bahasa. Selain bahasa Melayu, turut
dipelajarinya bahasa Tamil, Arab dan Inggeris.
Sewaktu Stamford Raffles datang ke
Melaka, Abdullah dilantik sebagai juru tulis dan penterjemahnya. Daripada
hubungan majikan dan pekerja, akhirnya mereka menjadi sahabat karib. Nyata
sikap rajin dan dedikasi dalam tugas yang terserlah menerusi peribadi Abdullah
tidak saja membuatkan Raffles menyenanginya tetapi turut membenihkan rasa
hormat dan kagum di kalangan Inggeris terhadap anak watan itu. Bagaimanapun,
persahabatan itu terputus apabila Raffles berangkat ke Betawi. Dalam usianya 27
tahun, Abdullah mengajar bahasa Melayu kepada paderi Inggeris, Milne dan beliau
mempelajari pula bahasa Inggeris daripada lelaki asing itu. Mengetahui seorang
lagi pendatang Barat, Doktor Marrison mengetahui bahasa Cina, Abdullah turut
meminta bahasa itu diajarkan kepadanya. Daripada Doktor Marrison jugalah dia
meneliti ayat-ayat daripada kitab Injil Matius seterusnya menterjemahkannya
dalam bahasa Melayu.
Apabila Kumpulan India Timur
mendirikan kolej Anglo-Chinese untuk mengajar anak Cina, Nasrani dan Melayu
membaca serta menulis bahasa Inggeris, Abdullah turut serta menuntut ilmu di
pusat pendidikan itu. Malah, dia turut merangsang anak Melayu lain bersama
menuntut ilmu. Meningkat dewasa, Abdullah mendirikan rumah tangga sewaktu
berusia 34 tahun dan beberapa tahun kemudian, beliau memperoleh cahaya mata
pertama iaitu seorang bayi perempuan. Selepas Milne meninggal dunia, jawatan
lelaki itu sebagai pengetua kolej Anglo-Chinese digantikan dengan Thomsen.
Abdullah berkesempatan menjadi pengetua di kolej itu seketika apabila Thomsen
menghantar isterinya pulang ke England. Apabila Singapura dibuka, Abdullah
memulakan kehidupan barunya di sana dengan kembali menjadi juru tulis dan juru
bahasa Raffles dan meninggalkan anak dan isterinya di Melaka. Setiap enam
bulan, beliau akan kembali bertemu keluarganya.
Di Singapura, beliau
bertanggungjawab menulis undang-undang Singapura atas arahan Raffles. Beliau
juga diberi tugas untuk mengumpul bahan sastera Melayu lama seperti kitab,
hikayat dan Syair untuk Raffles membawa pulang bahan itu ke England. Dia juga
menjadi guru bahasa Melayu kepada saudagar Inggeris di Singapura. Ketika di
negeri itu juga, Abdullah diserang sejenis penyakit dan terpaksa dibedah oleh
doktor Inggeris. Pengalaman terjadinya kebakaran di Singapura dicatatkan
Abdullah dalam karyanya ‘Syair Singapura Terbakar’. Beberapa bulan kemudian,
Abdullah kembali ke Melaka dan mengajar bahasa Melayu kepada guru di kolej
Anglo-Chinese, Hughes dan Paderi Evans dan seorang Inggeris, Newbold.
Dalam pada itu, Newbold turut
mengarahkan Abdullah mengkaji dan menulis adat Cina dan masyarakat Jakun dalam
bahasa Inggeris. Tugas itu membawa Abdullah mengembara ke Gunung Pancur bagi
melihat dan mengkaji budaya hidup masyarakat Jakun di situ. Pada 1835, Abdullah
menterjemah ‘Hikayat Panca Tanderan’ yang asalnya berbahasa Hindu dengan judul
‘Hikayat Kalilah dan Daminah’. Karja terjemahannya yang lain adalah
‘Perhimpunan Saudagar-saudagar’. Beliau kemudian mengarang kitan ‘Dewa
ul-Kulun’ (Ubat Hati) sebagai pengubat hatinya akibat kematian anaknya, Siti
Lela. Sewaktu bekerja dengan seorang bangsawan Inggeris, North, Abdullah yang
ketika itu berusia 42 tahun mengembara ke Pahang, Terengganu dan Kelantan dan
kisah sepanjang perjalanannya dicatatkan dalam ‘Kisah Pelayaran Abdullah’.
Ketika diserang demam kepialu,
beliau kembali ke pangkuan keluarganya di Melaka tetapi apabila sembuh,
isterinya pula meninggal dunia pada 1840. Pilu dengan peristiwa itu, Abdullah
menjual rumahnya di Melaka dan terus menetap di Singapura. Pada tahun itu juga,
Abdullah menulis cerita kapal asap bernama ‘Sisostis’. Abdullah menyelesaikan
‘Hikayat Abdullah’ pada 3 Mei 1843. Buku itu bagaimanapun hanya diterbitkan
kira-kira 40 tahun selepas kematiannya. Abdullah meninggal dunia pada 1854
iaitu ketika dalam perjalanan ke Makkah ketika usianya 58 tahun. Kisah
perjalanannya ke Makkah dicatatkan dalam ‘Kisah Pelayaran Abdullah ke Judah’
tetapi tidak dapat disiapkan. Bagaimanapun, kitab itu tetap diterbitkan Balai
Pustaka, Jakarta pada 1920.
Intelektual,
pemikir melayu abad ke-18
Meniti
masa menuju kemodenan, Abdullah Abdul Kadir atau digelar Abdullah Munsyi
dinobatkan masyarakat terutama pengkaji sejarah sebagai ‘Bapa Kesusasteraan
Melayu Moden’ lantaran pemikiran dan karyanya ketika itu dianggap ‘menentang
arus’. Tidak seperti kebanyakan karya Melayu lama ketika itu yang lebih kepada
dongeng, alam ghaib dan mistik; hasil penulisan Abdullah sebaliknya berdasarkan
pengamatan, pengalaman dan ilmu pengetahuan. Pengkaji Budaya Melayu, Prof Madya
Dr Hanapi Dollah, berkata hujah Abdullah dalam pelbagai bidang seperti
masyarakat, agama, politik, ekonomi dan moral menerusi karyanya didapati
mendahului zaman. Contohnya gagasan ‘Melayu Boleh’ atau ‘Malaysia Boleh’
bukanlah sesuatu baru tetapi sudah lama diutarakan Abdullah yang yakin orang
Melayu boleh maju sekiranya mampu melakukan perubahan dan meninggalkan pola
kehidupan lama dan usang.
Seperti kepentingan modal insan yang
dilaksanakan kerajaan baru-baru ini, Abdullah Munsyi sudah menekankan mengenai
pentingnya perkara itu seawal abad ke-18 lagi,” katanya yang juga pensyarah
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (FSSK-UKM).
Selain sebagai pejuang bahasa lantaran minatnya dalam mengkaji struktur
pelbagai bahasa, Abdullah juga seorang pemikir dan intelektual bangsa yang
wujud pada zaman silam yang mana hujah kritis dan gagasannya banyak memberi
panduan mengenai pelbagai aspek kehidupan. Mengikut Dr Hanapi, antara gagasan
Abdullah pada abad ke-18 yang didapati masih kekal sehingga kini:
Pemodenan
Gagasan
kemodenan Abdullah bertitik tolak daripada pengalamannya yang melihat kemajuan
yang dicapai Inggeris ketika itu. Bagaimanapun, kemodenan itu disesuaikan
dengan acuannya sendiri yang masih mengekalkan kepentingan Islam dalam
menguruskan kehidupan.
Ilmu
pengetahuan
Pembentukan
bangsa berilmu dan kepentingan menuntut ilmu menjadi gagasan yang ditimbulkan
secara terus-menerus sama ada menerusi kisahnya atau tulisannya. Pada pandangan
beliau, ilmu adalah asas kehidupan dan penjana peradaban.
Dalam
Hikayat Abdullah, ditekankan usaha dan cara mendapatkan ilmu dan
kepentingannya; Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan pula menekankan betapa
perlunya anak raja menuntut ilmu. Abdullah turut menunjukkan teladan menerusi
usahanya dalam aspek ini.
Adat
dan Kepercayaan
Abdullah
begitu kuat menentang adat dan kepercayaan usang terutama kepercayaan karut
marut dan bertentangan dengan Islam yang masih kuat dipegang masyarakat pada
zamannya.
Antara
adat usang yang dibidas Abdullah adalah beliau merasakan tidak munasabah
apabila seseorang melalui kampung diraja, mereka dilarang berpayung, memakai
kasut dan berpakaian kuning, golongan diraja tidak dibolehkan berniaga selain
perbuatan larangan yang kononnya akan mendatangkan kecelakaan jika dilakukan
walaupun tidak berasas.
Beliau
turut menolak kepercayaan terhadap pawang gajah yang kononnya memiliki kuasa
mistik untuk menangkap haiwan itu. Sebaliknya beliau mendapati pawang itu mengepung
gajah tanpa memberi makanan atau minum dan apabila haiwan itu lemah, barulah
pawang itu menangkapnya.
Abdullah
berpendapat punca kejumudan adat dan kepercayaan karut marut itu adalah
kurangnya beriman seseorang itu terhadap Allah dan Rasul.
Ekonomi
Catatannya
mengenai ekonomi jelas menerusi sejarah kehidupan diri dan keluarganya di
Melaka yang sememangnya terkenal sebagai pusat perdagangan antarabangsa ketika
itu. Beliau
menyatakan kesilapan yang diamalkan sistem ekonomi tradisional pada negeri biasa
dan negeri kolonial dalam pelayaran ke Kelantan. Di Pahang misalnya, beliau
melihat banyak tanah yang tidak diusahakan serta penduduk yang menganggur dan
berlakunya pembaziran faktor pengeluaran sumber dan buruh.
Keadilan
Abdullah
mempertikai konsep perbezaan taraf di dalam amalan sistem masyarakat Melayu
ketika itu yang membolehkan kalangan kelas bangsawan berbuat apa saja kepada
kelas bawahan, rakyat ibarat hamba kepada golongan bangsawan. Beliau
menuntut kesamarataan dalam gagasannya seperti diamalkan masyarakat Inggeris
malah gagasan itu tidak saja diluahkan menerusi tulisan tetapi secara lisan
kepada raja Melayu.
Feminisme
Lama
sebelum golongan wanita memperjuangkan hak feminisme, Abdullah terlebih dulu
membicarakan hal ini lewat penulisannya yang antara lain membidas sikap lelaki
malas sehingga menyebabkan tanggungjawab lelaki dan suami seperti diajar Islam
dilakukan wanita. Dalam
masa sama, beliau memaparkan persoalan feminisme lebih menarik dengan
menyatakan wanita Melayu mendapat kebebasan tidak terhad untuk bergerak.
FAKTA:
Karya Abdullah Munsyi
Syair
Singapura Terbakar (1830)
Kisah
Pelayaran Abdullah (1838)
Hikayat
Abdullah (1849)
Dewa-ul-kulub
(1883)
Kisah
Pelayaran Abdullah ke Judah (1920)
Abdullah Munsyi juga pernah bertugas sebagai jurutulis kepada
Sir Stamford Raffles. Beliau juga pernah membantu paderi Thomson dan Milne
menterjemah kitab Injil ke dalam bahasa Melayu. Beliau menjadi guru bahasa
Melayu kepada askar Inggeris keturunan India dan memangku jawatan pengetua di
Anglo-Chinese College ketika Paderi Thomson pulang bercuti di England. Abdullah
Munsyi meninggal dunia pada usia 58 tahun di Jeddah pada tahun 1854 ketika
dalam perjalanan ke Mekah.
Kejayaan Abdullah Munsyi
sebagai pelopor sastera moden disebabkan
oleh beberapa faktor tertentu. Pertama berkaitan dengan kuasa barat mulai bertapak di Tanah
Melayu. Penjajahan barat oleh Inggeris
ke atas Tanah Melayu telah menyebabkan kuasa golongan feudal mulai merosot,
pada ketika proses transisi inilah Abdullah Munsyi tampil sebagai penulis yang
membawa perubahan. Ini dapat dibuktikan
melalui karya-karya yang dihasilkan beliau seperti Kisah Pelayaran Abdullah
(1838) yang menceritakan pengalaman yang dilalui oleh beliau semasa mengikuti
rombongan penjajah Inggeris ke negeri-negeri pantai Timur.
Kedua berasaskan faktor arus
modenisasi yang dibawa oleh penjajah barat. Kehadiran alat cetak yang dibawa
bersama arus modenisasi barat telah memungkinkan karya-karya yang ditulis oleh
Abdullah Munsyi dicetak dan diterbitkan. Beliau merupakan pengarang Melayu
pertama yang karyanya dicetak. Antara karyanya yang terawal dicetak ialah Kisah
Pelayaran Abdullah (1838). Faktor pergaulan dengan orang-orang barat turut
memainkan peranan dalam kejayaan Abdullah Munsyi. Hubungan beliau dengan
orang-orang barat sama ada ketika beliau bekerja ataupun menjadi guru bahasa
Melayu, telah memperluaskan pemikirannya selari dengan modenisasi yang di bawa
oleh orang-orang barat. Beliau pernah menjadi jurutulis kepada Sir Stamford
Raffeles dan pernah bekerja dengan Paderi Thomson yang merupakan pengetua
Anglo-Chinese College.
Faktor pendidikan yang diterima
sejak dari awal lagi memberi peluang penting kepada Abdullah Munsyi untuk
berjaya. Sejak kecil lagi beliau telah diberi pendedahan tentang pendidikan
sama ada pendidikan agama mahu pendidikan dunia yang berupa tatabahasa Melayu.
Beliau telah menguasai dan khatam Al-Quran seawal usia 7 tahun kemudian beliau
mula menjadi guru bahasa Melayu seawal usianya 14 tahun. Faktor keturunan dan
latar belakang keluarganya turut memainkan peranan. Beliau dilahirkan hasil
perkahwinan campur antar bapanya yang berketurunan arab dan ibunya berketurunan
India. Ayahnya tergolong dalam kelompok ilmuwan dan intelek(guru agama, guru
bahasa dan juga seorang pedagang) didikan yang berteraskan ketegasan dalam ilmu
telah banyak membantu Abdullah menjadi orang yang berpengetahuan dan mencipta
zamannya sendiri dengan membawa banyak perubahan dan pembaharuan dalam
kesusasteraan Melayu.
Abdullah
Munsyi memiliki bakat dan kebolehan
semula jadi dalam bidang tulis menulis. Beliau
memang berbakat dalam tulis-menulis, idea yang diberikan kreatif. Olahan cerita
yang disampaikannya juga menarik serta terperinci. Idea dan pemikiran dalam
karya-karyanya yang berbentuk autobiografi seperti Syair Singapura terbakar
(1830) Kisah Pelayaran Abdullah (1838) membuktikan beliau memang berbakat dalam
bidang penulisan yang melayakkannya berada dalam zamannya sendiri. Abdullah
Munsyi berada pada zaman pergolakkan. Abdullah Munsyi berada dalam
dua situasi iaitu menjelang keruntuhan kuasa politik kaum bangsawan Melayu dan
bermulanya kegemilangan pengaruh asing. Senario itu telah memungkinkan Abdullah
membawa pembaharuan dalam karya-karyanya yang tidak terikat lagi pada tradisi
istana. Ini jelas dalam kebanyakkan karyanya tidak lagi memberi penekanan pada
golongan feudal seperti dalam Hikayat Abdullah.
Penyebaran agama kristian memberi
kesan penting kepada Abdullah Munsyi. Penyebaran agama kristian yang dibawa
oleh mubaligh-mubaligh dari barat turut membawa masuk ilmu-ilmu barat yang mula
berkembang dan mula melemahkan kuasa golongan feudal orang Melayu. Abdullah
Munsyi yang turut belajar dengan beberapa orang paderi seperti Thomson dan juga
Milne telah menerima tempias keilmuan barat sehingga memungkinkannya mencipta
pembaharuan dalam karya-karya beliau ini terbukti melalui penggunaan
istilah-istilah Inggeris dalam karya beliau seperti Hikayat Abdullah Munsyi.
Antaranya police dan college.
Dalam penulisannya Abdullah Munsyi
membawa sikap dan pemikiran yang menjadi gagasan utama dalam
karya-karyanya. Pertama, sikap dan
pemikirannya terhadap Bahasa Melayu. Abdullah Munsyi begitu berminat untuk mempelajari dan mendalami
bahasa Melayu dan pemikirannya terhadap bahasa Melayu jelas apabila beliau
menegaskan betapa pentingnya bahasa Melayu perlu dipelajari oleh orang Melayu.
Kenyataan ini dapat dijelaskan berdasarkan pendiriannya terhadap bahasa Melayu
seperti yang dtulis oleh beliau dalam karyanya Kisah Pelayaran Abdullah (1838)
yang antara lainnya beliau menyatakan rasa kesalnya terhadap orang-orang Melayu
yang tidak mengambil berat tentang bahasa Melayu.
Abdullah Munsyi memberi
keutamaan terhadap ilmu-ilmu lain. Ini diterjemahkan melalui kesedaran beliau
terhadap betapa mundur dan ceteknya pemikiran bangsanya telah mempengaruhi
sikap dan pemikiranya terhadap ilmu-ilmu lain yang dibawa masuk oleh
orang-orang barat. Situasi itulah yang mendorong beliau untuk mempelajari
ilmu-ilmu baharu yang dibawa masuk oleh orang-orang barat. Dalam Hikayat Abdullah
dinyatakan beliau belajar ilmu bumi seperti bentuk bumi, gerhana dan ilmu
kira-kira.
Sikap
dan pemikirannya terhadap orang Melayu yang mengabaikan bahasa Melayu. Abdullah
Munsyi yang jelasnya bukan orang Melayu
tulen maka tidak hairanlah dia dengan begitu berani mengkritik orang-orang
Melayu. Sikap dan pemikirannya terhadap orang Melayu jelas apabila dia tidak
bersetuju dengan pandangan dan sikap orang Melayu yang mengabaikan bahasa
Melayu seperti yang dinyatakan dalam Hikayat Abdullah yang betapa bodohnya
orang Melayu kerana tidak mahu mempelajari bahasa sendiri.
Abdullah
Munsyi turut memberi fokus terhadap cara hidup orang Melayu. Abdullah Munsyi dalam karyanya khususnya Kisah
Pelayaran Abdullah (1840) turut mencetuskan pandangannya terhadap cara hidup
orang Melayu. Beliau beranggapan orang Melayu malas, lalai dan pengotor. Bahasa
percakapan orang Melayu juga buruk, makanan orang Melayu disebut terdiri dari
bahan-bahan kotor. Beliau juga turut memuji sikap rajin perempuan kelantan
rajin menjalankan perniagaan.
Abdullah Munsyi juga mengadunkan
sikap dan pemikirannya terhadap golongan feudal Abdullah Munsyi menunjukkan
sikap benci dan menganggap budaya raja-raja Melayu sebagai kolot. Beliau
menganggap raja-raja Melayu zalim kerana kehendak mereka tidak boleh dihalang
atau dilarang jika tidak buruk padahnya. Sikap danpemikirannya yang bencikan
golongan jelas melalui gambaran betapa hodoh dan bodohnya raja-raja Melayu
dalam karyanya seperti Hikayat Abdullah Munsyi seperti gambaran tentang Sultan
Hussin yang dikatakan gemuk dan kuat makan.
Aspek kepercayaan orang Melayu turut
menjadi sikap dan pemikiran Abdullah Munsyi dalam karya beliau. Abdullah Munsyi
tidak bersetuju dengan kepercayaan orang Melayu yang terlalu percaya kepada
perkara yang tahyul. beliau beranggapan perkara itu karut dan sewajarnya tidak
diikuti ini adalah kerana kepercayaan itu akan menjadi halangan untuk kemajuan
bangsa Melayu . Ini dapat dilihat penentangannya terhadap adat menjual anak
seperti yang dinyatakan dalam Hikayat Abdullah.
Abdullah Munsyi tidak terlepas dari
mengemukakan sikap dan pemikirannya terhadap orang-orang Inggeris.
Abdullah menghargai dan mengagumi orang-orang Inggeris yang dikatakannya membawa
pengetahuan dan kemajuan. Sikap rajin dan keilmuan orang Inggeris menjadi
perhatian beliau seperti dalam Hikayat Abdullah, beliau sangat kagum dengan
Tuan Raffles yang rajin.
Rujukan:
http://mimbarkata.blogspot.com/2012/10/abdullah-munsyi-pelopor-sastera-melayu.html
Syeikh Nuruddin ar-Raniri
Syeikh
Nuruddin ar-Raniri Ulama ahli debat
Oleh:
WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
PADA
mukadimah dan penutup tentang Syeikh Hamzah al-Fansuri keluaran yang lalu,
telah saya singgung gambar imaginasi. Dalam artikel ini disiarkan gambar
imaginasi Syeikh Nuruddin ar- Raniri yang juga tiada siapa yang tahu
penciptanya, seperti Syeikh Hamzah al-Fansuri juga. Sebagaimana Syeikh Hamzah
al-Fansuri, nama Syeikh Nuruddin ar-Raniri cukup banyak mendapat perhatian dan
ditulis orang. Jauh sebelum kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri ke Aceh, pada
masa pemerintahan Sultan Husein (pengganti Sultan sebelumnya), yang mangkat
tahun 975 H/1567 M, di Aceh telah ada seorang ulama yang digelar Syeikh
Nuruddin. Mengenainya disebut dalam Hikayat Aceh.
Perlu dibezakan, apabila kita
menulis nama lengkap Syeikh Nuruddin ar-Raniri dengan nama ayah saudaranya yang
pernah datang ke Aceh. Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang diriwayatkan ini nama
lengkapnya berdasarkan kepada karya-karyanya ialah Syeikh Nuruddin Muhammad
ibnu 'Ali ibnu Hasanji ibnu Muhammad Hamid ar-Raniri al-Quraisyi. Syeikh
Nuruddin ar-Raniri walau pun berasal daripada keturunan Arab di India dari
pihak ayahnya dan bangsa Melayu dari sebelah ibu, namun beliau lama tinggal di
Pahang dan Aceh, dan banyak mengarang kitab-kitab dalam bahasa Melayu. Sebahagian
besar karangannya ditujukan membantah fahaman 'Wahdatul Wujud' yang diajarkan
oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i.
Banyak perkara menarik mengenai
ulama ini, di antaranya kitab fikah dalam bahasa Melayu yang pertama sekali
berjudul ash-Shirath al-Mustaqim adalah karya beliau. Demikian juga mengenai
kitab hadis yang berjudul al-Fawaid al-Bahiyah fi al-Ahadits an-Nabawiyah atau
judul lainnya Hidaya al-Habib fi at-Targhib wa at-Tarhib, adalah kitab
membicarkan hadis yang pertama sekali dalam bahasa Melayu. Hampir semua penulis
menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri dilahirkan di Ranir, berdekatan
dengan Gujarat. Asal usul beliau ialah bangsa Arab keturunan Quraisy yang
berpindah ke India. Tetapi salah seorang muridnya bernama Muhammad 'Ali atau
Manshur yang digelarkan dengan Megat Sati ibnu Amir Sulaiman ibnu Sa'id Ja'far
Shadiq ibnu 'Abdullah dalam karyanya Syarab al-'Arifin li Ahli al-Washilin
menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah "Raniri negerinya,
Syafi'ie nama mazhabnya, Bakri bangsanya."
Pendidikan asasnya dipercayai
diperolehnya di tempat kelahirannya Raniri atau Rander. Raniri/Rander,
sebahagian riwayat mengatakan berdekatan dengan Kota Surat, dan riwayat lain
mengatakan dekat Bikanir, kedua-duanya di negeri India. Syeikh Nuruddin
ar-Raniri berhasil berangkat ke Mekah dan Madinah dalam tahun 1030 H/1621 M dan
di sana beliau sempat belajar kepada Syeikh Abu Hafash 'Umar bin 'Abdullah Ba
Syaiban atau nama lain ulama ini ialah Saiyid 'Umar al-'Aidrus. Kepada ulama
ini beliau mengambil bai'ah Thariqat Rifa'iyah. Dalam sektor Thariqat Rifa'iyah
itu syeikh yang tersebut adalah murid kepada Syeikh Muhammad al-'Aidrus. Selain
Thariqat Rifa'iyah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri juga pengamal Thariqat Qadiriyah.
Kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri
buat pertama kalinya ke Aceh diriwayatkan dalam tahun 1577 M, tetapi ada juga
ahli sejarah mencatat bahawa beliau sampai di Aceh pada tahun 1637 M. Ini
bererti setahun setelah mangkatnya Sultan Iskandar Muda (memerintah dari tahun
1606 M hingga 1636 M). Syeikh Nuruddin ar-Raniri seakan-akan kedatangan pembawa
satu pendapat baru, yang asing dalam masyarakat Aceh. Setiap sesuatu yang baru
selalu menjadi perhatian dan pengamatan orang, sama ada pihak kawan atau pun
pihak lawan. Fahaman baru yang dibawa masuk oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu
ialah fahaman anti atau penolakan tasawuf ajaran model Syeikh Hamzah al-Fansuri
dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Kedua-dua ajaran ulama sufi itu adalah
sesat menurut pandangan beliau.
Syeikh Nuruddin ar-Raniri mendapat
tempat pada hati Sultan Iskandar Tsani, yang walaupun sebenarnya pada zaman
pemerintahan Sultan Iskandar Muda beliau tidak begitu diketahui oleh masyarakat
luas. Oleh sebab ketegasan dan keberaniannya ditambah lagi, Syeikh Nuruddin
ar-Raniri menguasai berbagai-bagai bidang ilmu agama Islam, mengakibatkan beliau
sangat cepat menonjol pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Tsani itu.
Akhirnya Syeikh Nuruddin ar-Raniri
naik ke puncak yang tertinggi dalam kerajaan Aceh, kerana beliau mendapat
sokongan sepenuhnya daripada sultan. Beliau memang ahli dalam bidang ilmu
Mantiq (Logika) dan ilmu Balaghah (Retorika). Dalam ilmu Fikah, Syeikh Nuruddin
ar-Raniri adalah penganut Mazhab Syafie, walaupun beliau juga ahli dalam ajaran
mazhab-mazhab yang lainnya. Dari segi akidah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah
pengikut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang berasal daripada Syeikh Abul
Hasan al-Asy'ari dan Syeikh Abu Manshur al-Maturidi. Pegangannya dalam tasawuf
ialah beliau adalah pengikut tasawuf yang mu'tabarah dan pengamal
berbagai-bagai thariqah sufiyah. Tetapi suatu perkara yang aneh, dalam bidang
tasawuf beliau menghentam habis-habisan Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh
Syamsuddin as-Sumatra-i.
Walau bagaimanapun Syeikh Nuruddin
ar-Raniri tidak pernah menyalahkan, bahkan menyokong Syeikh Muhyuddin ibnu
'Arabi, Abi Yazid al-Bistami, 'Abdul Karim al-Jili, Abu Manshur Husein
al-Hallaj dan lain-lain. Perkataan yang bercorak 'syathahiyat' yang keluar
daripada ulama-ulama sufi yang tersebut itu tidak pernah beliau salahkan tetapi
sebaliknya perkataan yang bercorak 'syathahiyat' yang berasal daripada Syeikh
Hamzah al- Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i selalu ditafsirkan secara
salah oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Di dalam karyanya Fath al-Mubin 'ala
al-Mulhidin, Syeikh Nuruddin ar-Raniri berpendapat bahawa al-Hallaj mati
syahid. Katanya: "Dan Hallaj itu pun syahid fi sabilillah jua."
Padahal jika kita teliti, sebenarnya Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh
Syamsuddin as-Sumatra-i itu pegangannya tidak ubah dengan al-Hallaj.
Ajaran Syeikh Hamzah al-Fansuri dan
Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i berpunca daripada ajaran Syeikh Muhyuddin ibnu
'Arabi, Syeikh Abi Yazid al-Bistami, Syeikh 'Abdul Karim al-Jili dalam satu
sektor. Dan bahagian lain juga berpunca daripada ajaran Imam al-Ghazali, Syeikh
Junaid al-Baghdadi dan lain-lain, adalah dipandang muktabar, sah dan betul
menurut pandangan ahli tasawuf. Bahawa ajaran tasawuf telah berurat dan berakar
di kalbi, bahkan telah mesra dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, dari
kulit hingga daging, dari tulang hingga ke sumsum pencinta-pencintanya, yang
tentu saja mereka mengadakan tentangan yang spontan terhadap Syeikh Nuruddin
ar-Raniri. Bahkan kepada siapa saja yang berani menyalah-nyalahkan pegangan
mereka. Pengikut-pengikut Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i
menganggap kedua-dua guru mereka adalah wali Allah, yang faham terhadap
pengetahuan syariat, tarekat, haqiqat dan makrifat. Mereka beranggapan,
walaupun diakui bahawa
Syeikh Nuruddin ar-Raniri sebagai
seorang ulama besar, yang dikatakan juga telah mengetahui ilmu tasawuf, namun
tasawuf yang diketahui oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu hanyalah tasawuf
zahir belaka. Bahawa beliau hanyalah mengetahui kulit ilmu tasawuf, tetap tidak
sampai kepada intipati tasawuf yang sebenar-benarnya. Bahawa beliau baru
mempunyai ilmu lisan sebagai hujah belaka, tetapi belum mempunyai ilmu kalbi,
yang dinamakan juga dengan ilmu yang bermanfaat. Oleh itu, wajiblah mereka
membela guru mereka yang mereka sanjung tinggi itu.
Selama menetap di Pahang atau pun
setelah beliau pindah ke Aceh, ramai penduduk yang berasal dari dunia Melayu
belajar kepada ulama besar yang berasal dari India itu, namun sampai riwayat
ini saya tulis, belum dijumpai tulisan yang menyenaraikan nama murid-murid
Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Untuk memulakan penjejakan mengenainya di sini dapat
saya perkenalkan hanya dua orang, iaitu: Syeikh Yusuf Tajul
Mankatsi/al-Maqasari al-Khalwati yang berasal dari Makasar/tanah Bugis. Tidak
begitu jelas apakah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati ini belajar kepada Syeikh Nuruddin
ar-Raniri sewaktu beliau masih di Aceh atau pun Syeikh Yusuf datang menemui
Syeikh Nuruddin ar-Raniri di negerinya, India. Sementara pendapat lain menyebut
bahawa Syeikh Yusuf Tajul Khalwati benar-benar dapat berguru kepada Syeikh
Nuruddin ar-Raniri sewaktu masih di Aceh lagi, dan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati
menerima bai'ah Tarekat Qadiriyah daripada Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Yang
seorang lagi ialah Syeikh Muhammad 'Ali, ulama ini berasal dari Aceh.
Ada yang berpendapat bahawa beliau
meninggal dunia di India. Pendapat lain menyebut bahawa beliau meninggal dunia
di Aceh. Ahmad Daudi, menulis: "Maka tiba-tiba dan tanpa sebab-sebab yang
diketahui, Syeikh Nuruddin ar-Raniri meninggalkan Serambi Mekah ini, belayar
kembali ke tanah tumpah darahnya yang tercinta, Ranir untuk selama-lamanya.
Peristiwa ini terjadi pada tahun 1054 H (1644 M)." Bahawa beliau meninggal
dunia pada 22 Zulhijjah 1069 H/21 September 1658 M. Tetapi Karel A. Steenbrink
dalam bukunya, Mencari Tuhan Dengan Kacamata Barat berpendapat lain, bahawa
hingga tahun 1644 M bererti Syeikh Nuruddin masih berada di Aceh. Menurutnya
terjadi diskusi yang terlalu tajam antara beberapa kelompok pemerintah: Seorang
uskup agung (ar-Raniri) di satu pihak dan beberapa hulubalang dan seorang ulama
dari Sumatera Barat di pihak lain. Pihak yang anti ar-Raniri akhirnya menang,
sehingga ar-Raniri dengan tergesa-gesa kembali ke Gujarat. Tulisan Karel itu
barangkali ada benarnya, kerana secara tidak langsung Syeikh Nuruddin mengaku
pernah kalah berdebat dengan Saiful Rijal, penyokong fahaman Syeikh Hamzah
al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i, perkara ini beliau ceritakan
dalam kitab Fath al-Mubin.
Ada pun tempat meninggalnya, H.M.
Zainuddin, berbeza pendapat dengan Ahmad Daudi di atas. Menurut Zainuddin dalam
Tarich Atjeh Dan Nusantara, jilid 1, bahawa terjadi pertikaian di istana, dalam
perebutan itu telah terbunuh seorang ulama, Faqih Hitam yang menentang tindakan
Puteri Seri Alam. Dalam pada itu Syeikh Nuruddin diculik orang, kemudian
mayatnya diketemukan di Kuala Aceh. Menurut H.M. Zainuddin pula, bahawa makam
Syeikh Nuruddin itu dikenal dengan makam keramat Teungku Syiahdin (Syeikh
Nuruddin ar-Raniri) terletak di Kuala Aceh.
Dalam masa pemerintahan Iskandar
Muda, kerajaan Aceh maju, ajaran sufi tidak menghalang kemajuan yang berasaskan
Islam. Sebaliknya masa pemerintahan Iskandar Tsani, ajaran sufi dianggap sesat,
ternyata kerajaan Aceh mulai menurun. Bantahan terhadap sesuatu pegangan yang
pernah berkembang di dunia Islam perlulah ditangani dengan penuh kebijaksanaan.
Siapa saja yang memegang urusan keislaman janganlah tersalah penilaian, sering
terjadi yang benar menjadi salah, atau sebaliknya yang salah menjadi benar.
Rujukan:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz2ztUUqcVs
©
Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment