5 Contoh Karya Agung



SINOPSIS HIKAYAT HANG TUAH

Hikayat ini mengisahkan tentang kehidupan Hang Tuah sebagai seorang laksamana Melaka. Pada permulaan hikayat ini, diceritakan kisah Hang Tuah semasa kecil dan kelahiran Hang Tuah. Diceritakan juga mengenai ayahnya, iaitu Hang Nadim begitu juga dengan rakan-rakannya, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Pada suatu hari Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekui menyelamatkan Dato' Bendahara daripada seorang lelaki yang mengamuk. Dato' Bendahara kagum dengan keberanian mereka berlima dan memberikan mereka pekerjaan di istana. Mereka sangat disayangi oleh Sultan di istana hingga akhirnya Hang Tuah diberikan gelaran Laksamana. Oleh sebab Sultan Melaka sangat menyayangi Hang Tuah, Hang Tuah dideri kepercayaan penuh oleh Sultan Melaka. Disebabkan Hang Tuah sangat setia kepada Sultan Melaka, Hang Tuah sanggup membuat pelbagai perkara yang diarahkan oleh Sultan. Contohnya ialah meminang Tun Teja, masuk ke dalam kubur untuk mengetahui perasaan orang mati, menyelamatkan kuda tezi yang terjatuh dan membunuh rakan baiknya sendiri, iaitu Hang Jebat. Pada akhir hikayat ini, Hang Tuah dikatakan hilang dari dunia.




SINOPSIS SULALATUS SALATIN

Permulaan bab dalam Hikayat Sulalatus Salatin, iaitu Bab 1 dan 2 adalah mengenai sejarah asal usul raja-raja Melayu yang dikatakan berasal dari Iskandar Zulkarnain. Bercampur dengan Puteri Syahrul Bariyah dari Benua Hindi dan Puteri Mahtabul Bahri yang berasal dari negeri Dika, sebuah negeri di dalam laut. Nila Utama atau Seri Teri Buana telah berkahwin dengan Raden Ratna Cendera Puri daripada keturunan Raja Palembang telah mengasaskan kerajaan Singapura. Dalam bab 3 dan bab 4 menceritakan sejarah Singapura di zaman Seri Teri Buana,  Paduka Seri Pikrama Wira, Seri Rakna Wikrama, Paduka Seri Maharaja dan berakhir pada zaman Raja Iskandar Syah. Sejarah kerajaan Melaka dibincangkan mulai daripada bab 4 hinggalah bab 14. Ianya bermula pada zaman Raja Iskandar Syah hinggalah pada zaman Sultan Mahmud, iaitu raja Melaka yang terakhir.  Raja-raja Melaka termasuklah Raja Tengah dan Raja Kecil Besar yang telah memeluk Islam dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad Syah. Sultan yang berikutnya ialah Sultan Abu Syahid, Muzaffar Syah, Mansur Syah, Alauddin Riayat Syah dan yang terakhir ialah Sultan Mahmud Syah. Sultan Mahmud pernah melantik Sultan Ahmad sebagai penggantinya tetapi ianya disuruh bunuh kerana sikap Sultan Ahmad yang tidak menghormati pembesar-pembesar tua.  Sultan Mahmud bercadang untuk melantik Raja Muzaffar sebagai Sultan tetapi digantikan oleh Raja Ali, anak Tun fatimah. Raja Ali bergelar Sultan Alauddin Riayat Syah. Sultan Mahmud mangkat di Kampar. Dalam bab 15 , Sulalatus Salatin membincangkan  kerajaan Melayu di Johor terutama pada zaman Sultan Alauddin, Sultan Muzaffar, Sultan Abdul Jalil, Sultan Jalla Abdul Jalil  hinggalah ke zaman Sultan Alauddin Riayat Syah.  Terutamanya tentang usaha mereka menguasai semula Melaka. Pada zaman Sultan Aladdin inilah Tun Seri Lanang dilantik menjadi Bendahara dan dititahkan menyusun buku Sulalatus Salatin ini.




SINOPSIS HIKAYAT MUNSHI ABDULLAH

Hikayat Abdullah Munshi mengandungi riwayat hidup Abdullah, keturunan, perihal zaman kanak-kanak, zaman persekolahan, serta minat dan latar belakang keluarga beliau. Sebahagian besar yang dikisahkan di dalam Hikayat Abdullah Munshi adalah berkaitan peristiwa harian terutamanya yang berkaitan dengan perhubungan dan pengalaman Abdullah sendiri dengan orang-orang Inggeris, iaitu para pegawai Inggeris yang bekerja di dalam kerajaan atau di luar kerajaan. Selain itu, penceritaan ini juga berhubungan tentang penduduk tempatan dengan pemerintah. Dalam hikayat ini juga, Abdullah sering menurunkan pemikiran dan falsafah beliau. Misalnya berkenaan dengan bahasa Melayu, berkenaan sikap orang Melayu, kepandaian dan teknologi orang Eropah,  dan berkenaan sistem pemerintahan Inggeris yang berteraskan undang-undang bertulis, keadilan bersistem serta teratur. Hikayat ini juga cuba memaparkan sejarah sosial pada zaman Abdullah Munsyi semasa di Melaka.
 
       Antara aspek yang menjadi fokus dalam hikayat ini ialah corak pergaulan dan adat resam, budaya serta perhubungan antara masyarakat, sistem ekonomi, pendidikan, sebutan dalam bahasa, corak pemikiran serta keupayaan masyarakat dan sebagainya. Rangkuman sosial ini juga meliputi perhubungan para penduduk dengan pihak pemerintah dalam sesuatu zaman. Oleh hal yang demikian, sudut sejarah sosial lebih bersifat neutral, tidak berat sebelah dan tidak prejudis. Sejarah sosial tidak dipengaruhi unsur ‘siapa yang benar, siapa yang salah’ kerana segala peristiwa yang telah berlaku itu, memang benar-benar berlaku, berpadanan dengan suasana persekitaran dan corak pemerintahan serta politik sezaman. Semua ini menjadi sebagian daripada apa yang dikatakan dan diakui sebagai fakta-fakta sejarah.Segala peristiwa yang dilihat, didengar dan dialami oleh beliau, iaitu kisah-kisah harian yang berlaku di Bandar Melaka sepanjang tempoh kira-kira dari tahun 1800 sehingga 1840, cuba dipaparkan di dalam hikayat ini.




SINOPSIS I LA GALIGO

Kisah ini bermula ketika dunia ini kosong (merujuk kepada Sulawesi Selatan), Raja Di Langit, La Patiganna, mengadakan suatu perbicangan keluarga daripada beberapa kerajaan termasuklah Senrijawa dan Peretiwi dari alam ghaib. Dalam mesyuarat ini, mereka sepakat untuk melantik anak lelakinya yang tertua, La Toge’ Langi’ menjadi Raja Alekawa (Bumi) dan memakai gelaran Batara Guru. La Toge’ langi’ kemudiannya berkahwin dengan sepupunya, We Nyili’timo yang merupakan anak kepada Guru ri Selleng, Raja alam ghaib. Namun begitu, sebelum Batara Guru diisytiharkan sebagai raja di bumi, beliau perlu melalui suatu tempoh ujian selama 40 hari 40 malam. Tidak lama kemudiannya, beliau turun ke bumi, dikatakan turun di Ussu’, sebuah daerah di Luwu’ dan terletak di Teluk Bone. Pengganti Batara Guru iaitu La Tiuleng, anak kepada Batara Guru kemudiannya menjadi pengganti beliau dengan gelaran Batara Lattu’. Beliau kemudiannya memperoleh dua orang anak kembar, iaitu Lawe atau La Ma’dukelleng atau Sawerigading (Putera Ware’) dan kembarnya, seorang anak perempuan bernama We Tenriyabeng.
Kedua-dua kembar itu tidak membesar bersama. Sawerigading pada mulanya menganggap We Tenriyabeng tidak mempunyai hubungan darah dengannya, ingin berkahwin dengannya. Tetapi disebabkan ini adalah suatu larangan, beliau meninggalkan Luwu’ dengan menuju ke Cina dan bersumpah tidak akan kembali. Di Cina, beliau mengahwini Datu Cina iaitu We Cudai. Sawerigading dalam La Galigo digambarkan sebagai seorang kapten kapal yang gagah dan beliau pernah melawati beberapa tempat seperto Taranate (Ternate di Maluku), Gima (Bima atau Sumbawa), Jawa Rilau’ dan Jawa Ritengnga (mungkin Jawa Timur dan Tengah), Sunra Rilau’ dan Sunra Riaja (mungkin Sunda Timur dan Sunda Barat) dan Melaka. Beliau juga dikhabarkan oleh masyarakat Bugis, melawat syurga dan alam ghaib. Pengikut-pengikutnya terdiri daripada saudara-mara dari serata rantau dan rombongannya sering didahului oleh kehadiran tetamu yang luar biasa seperti orang bunian, orang berkulit hitam dan orang berambut di dada.
Menjadi manusia atau penghuni Dunia Tengah, adalah saat yang paling menyulitkan dalam riwayat hidup Batara Guru. Hal ini membawa erti bahawa beliau kehilangan hak-hak istimewanya sebagai seorang dewa, sebagai putera sulung dan pangeran mahkota dari Sang Penentu Nasib yang menguasai seisi alam. Namun begitu, ketahanan Batara Guru menjalani nasibnya sebagai manusia pertama di bumi yang kosong, akhirnya memberi pulangan yang sangat indah sehingga hasratnya untuk kembali ke langit dilupakan. Pada akhir kisah panjang ini, Batara Guru kembali juga ke langit dan menggantikan kedudukan Patotoqe’ sebagai penguasa tertinggi. Namun begitu, hal ini terjadi setelah empat generasi keturunan Batara Guru sudah menjelajah ke seluruh dunia. Bumi dipenuhi dengan manusia dan keturunan para dewa sudah berpindah naik ke Kayangan dan ada yang kekal di Bumi. Episod akhir Sureq Galigo memperlihatkan perkahwinan Dunia Atas dan Dunia Bawah untuk melahirkan penghuni Dunia Tengah, diwarnai dengan penyatuan keluarga besar anak cucu Batara Guru. Mereka yang tersebar sampai ke Cina, yang menetap di Langit dan Dunia Bawah Tanah, kesemuanya datang berkumpul. Sawerigading yang berjaya memenuhi Bumi dengan kelahiran anak cucunya tidak lagi dikutuk jika kembali ke tanah asalnya. Patotoqe’ kemudiannya menutup pintu langit dan tidak lagi dibuka untuk manusia. Dengan ini, terputuslah hubungan antara langit dan dunia. Dengan selesainya misi menyebarkan manusia dan memenuhi dunia dengan kehidupan, maka dianggap lengkaplah kisah Sureq Galigo. 


SINOPSIS HIKAYAT RAJA-RAJA PASAI

Hikayat ini bermula dengan kisah dua orang raja bersaudara, iaitu Raja Ahmad dan Raja Muhammad. Pada awalnya, mereka ingin membuka negeri di Samarlangga. Raja Muhammad telah menemui seorang kanak-kanak perempuan dari sebuah pokok buluh. Ketika menebas hutan untuk membuka negeri. Lalu dia mengambil kanak-kanak itu, dan menjadikannya sebagai anaknya sendiri dan dinamakan Puteri Betung. Raja Ahmad pula mendapat seorang anak lelaki yang dijaga oleh seekor gajah dinamakan Merah Gajah. Setelah dewasa, Puteri Betung dan Merah Gajah dinikahkan dan mendapat dua orang anak lelaki yang diberi nama Merah Silau dan Merah Hasum.
Pada suatu hari, Merah Gajah melihat sehelai rambut Puteri Betung yang berwarna emas dan meminta untuk mencabut rambut itu dari Puteri Betung, namun Puteri Betung tidak mengizinkannya. Namun demikian, Merah Gajah tetap mencabut rambut itu ketika Puteri Betung sedang tidur. Akibat daripada perbuatan itu, keluarlah darah putih dari kepala Puteri Betung kemudian beliau meninggal dunia. Apabila diketahui oleh Raja Muhammad, baginda sangat marah lalu membunuh Merah Gajah. Apabila Raja Ahmad mengetahui bahawa anaknya dibunuh, baginda terus melancarkan perang terhadap Raja Muhammad. Akhirnya, kedua-dua raja tersebut menemui ajal dalam peperangan tersebut. Setelah perang selesai, Merah Silau dan Merah Hasum bersepakat untuk meninggalkan negeri Samarlangga dan berniat untuk membuka negeri lain. Merah Silu membuka negeri Samudera. Setelah diislamkan, Merah Silau menukar namanya menjadi Malikul Saleh. Baginda kemudiannya mengahwini puteri Sultan Perlak, iaitu Puteri Ganggang. Daripada perkahwinan itu, lahir seorang anak lelaki yang diberi nama Malikul Tahir. Tampuk pemerintahan diambil alih pula oleh Malikul Tahil. Setelah baginda mangkat, kedua putera Malikul Tahir iaitu Malikul Mahmud dan Malikul Mansur yang mengambil alih tugas bapanya. Malikul Mahmud memerintah Samudera manakala Malikul Mansur memerintah negeri Pasai. Setelah Malikul Mahmud mangkat, takhta kerajaan jatuh ke tangan puteranya, Sultan Ahmad Perumudal Perumal. Pemerintah negeri Pasai diakhiri oleh Sultan Ahmad Perumudal Perumal kerana berlakunya zaman kejatuhan Pasai.


No comments:

Post a Comment