Retorik dan Gaya Bahasa Melayu Klasik


Menurut Kamus Dewan (2005:1326), retorik ialah kajian tentang teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan dan pertuturan. Retorik juga ialah seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar. Awang Sariyan (2006:8) menyatakan retorik sebagai satu bentuk strategi komunikasi berbahasa yang menekankan aspek keberkesanan dalam perhubungan. Retorik juga melibatkan soal keterampilan atau kemahiran seseorang mengajukan buah fikiran, idea, atau gagasan. Menurut beliau lagi, dari segi sejarah awal wujudnya, retorik memang dikaitkan dengan kemampuan atau keterampilan seseorang itu menyampaikan pemikiran dalam bentuk hujah atau pidato. Hudson seorang ahli retorik pernah menimbulkan isu ini apabila beliau menyatakan bahawa retorik pada waktu tertentu telah kehilangan konotasi positif kerana salah faham sesetengah orang. Menurut beliau lagi, salah faham ini disebabkan orang tidak faham akan asal usul timbulnya retorik dan fungsi retorik dalam komunikasi.
            Menurut Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012), retorik merupakan satu seni gaya penulisan secara berkesan yang bertujuan untuk mempengaruhi khalayak iaitu individu yang berada di persekitarannya. Retorik juga dikatakan sebagai keindahan seni lisan dan penulisan serta merupakan suatu seni propaganda yang digunakan oleh seseorang individu bagi tujuan memujuk. Retorik sebagai seni propaganda ini biasanya digunakan oleh ahli-ahli politik dan banyak digunakan dalam penulisan surat khabar yang berupa iklan untuk tujuan memujuk. Terdapat enam jenis ciri-ciri retorik yang akan dikupas dalam bahagian ini. Keadaan ini dapat dilihat seperti huraian di bawah:

(a) Pemerian
Kebiasaannya retorik jenis pemerian ini hadir ketika penulis ingin melakukan penjelasan atau huraian berkaitan sesuatu idea. Retorik ini bermatlamat untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar. Di antara cirri-ciri pemerian ialah dilaksanakan secara objektif, tepat dan jelas. Contohnya memberi gambaran secara realistic berdasarkan fakta yang konkrit. Kedua, bahasa yang digunakan adalah jelas dan tersusun. Struktur penulisannya juga mempunyai pendahuluan, huraian dan kesimpulan dan yang ketiga teknik ini bersifat deskriptif dan informative. Deskriptif bermaksud maklumat yang disampaikan secara huraian manakala informatif pula adalah maklumat yang disampaikan secara pemberitahuan.

Contohnya :
“Maka lalu dikeluarinya oleh orang Siak (itu) oleh orang Siak (itu), serta orang Siantan, mana-mana (yang) sebelah dia. Maka lalulah (beramuk-amukan mula-mulanya), berbedil-bedilan dengan meriam (dan) lela. Kemudian berapat berbedi(-bedil)an dengan senapang (dan) pemuras. Kemudian berapat (bercengangkan kelewang dan pedang dan) bertikamkan (lembing, tombak. Kemudian berapat bertikamkan) keris (pendek, ada yang bertikam bercengkeng pinggang sama seorang). Maka sangat ramainya (perang itu), kerana sama (sama) tiada Melayu undur (anak-anak Melayu dengan ana Siak)”.
                                                                            
                                                                              (Tuhfat al-Nafis : 279)

(b) Pemujukan
Retorik pemujukan atau pengaruhan lazimnya akan melibatkan bahasa pujukan bagi mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain agar mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. Ciri-ciri retorik pemujukan ialah menggunakan bahasa yang manis, menarik dan mementingkan kehalusan berbahasa. Hal ini bertujuan menarik khalayak berdasarkan pengaruh psikologi dengan menyatakan kehebatan atau kebaikan Sesutu yang sedang diperkatakan. Kebiasaannya kita temui retorik ini dalam pengiklanan.
“Maka berkatalah Pangeran Dipati itu kepada Gusti Jameril. “Adapun cucuku ini aku hendak (ambil) buat menantu. Cucuku pilihlah anakku yang dua orang itu  mana-mana suka cucuku.” Maka jawab Gusti Jameril, “adapun (yang) seperti kehendak nenda belumlah patik boleh menentukan bermohonlah patik mengadap paduka anakanda Pangeran Emas Seri Nagara dahulu.
                                                                               (Tuhfat al-Nafis : 232)

(c) Penerangan
Seterusnya ialah retorik penerangan. Retorik ini berfungsi untuk memberi penjelasan berkenaan sesuatu perkara dengan lebih terperinci dan tersusun misalnya dari satu langkah kepada langkah yang lain dan dari satu bahagian kepada bahagian yang seterusnya.
“Maka Raja Muda pun membunuh isterinya lalu keluar mengamuk pula, kerana fikirannya daripada isterinya diambil Minangkabau diperbuatnya gundik, terlebih biar hilang sekali. Kemudian Raja Muda pun mengamuklah menyerbukan dirinya kepada pihak sebelah Rja Kecik itu. Lalu berkejar-kejaran hambat berhambat hingga sampai ke Kayu Ana nama tempat itu. Maka Raja Muda pun mangkatlah di situ, sebab sabur menyabur orang beramuk itu.
                                                                                (Tuhfat al-Nafis : 57)

(d) Penceritaan
Retorik penceritaan atau boleh juga dikenali sebagai naratif bermaksud bentuk penyampaian melalui cerita sama ada dalam bentuk penulisan mahu pun lisan. Di antara contoh retorik penceritaan dalam penulisan ialah cerpen, novel, drama dan sebagainya.retorik penceritaan ini dapat dikenalpasti apabila mempunyai pendahuluan, perkembangan cerita, konflik dan peleraian. Selain itu, biasanya retorik ini menggunakan gaya bahasa imejan, perlambangan, metafora, personafikasi dan banyak lagi.

Contohnya :
“Maka pada ketika Minangkabau mengamuk itu baginda lagi di tikar sembahyangnya, baharu lepas sembahyang subuh tengah membaca wirid. Maka panglima Minangkabau itu pun naiklah, pada sangka juak-juak baginda itu panglima sengaja hendak mengadap baginda, maka tiadalah dihiraukannya. Maka seketika lagi ia pun naik lalu diparangnya hulu baginda. Maka baginda pun terkejut lalu disambar baginda pedang panglima itu, maka dapatlah pada tangan baginda. Maka mengamuklah baginda diparangnya panglima-panglima itu mati dibunuh oleh baginda itu. Maka baginda pun rebahlah lalu mangkat.
                                                                                      
                                                                                (Tuhfat al-Nafis : 68)

(e) Pendedahan
Definisi retorik pendedahan ialah bentuk retorik yang mendedahkan, menampakkan sesuatu atau menunjukkan sesuatu perihal dengan jelas dan terperinci. Matlamat retorik ini digunakan diantaranya ialah memberikan idea atau maklumat kepada khlayak. Ciri-ciri retorik jenis ini ialah memberikan takrifan, dihuraikan secara jelas dan diserta dengan perbandingan.

“Mana-mana yang berkenaan diambilnya dan mana-mana yang tiada diberikannya kepada segala juak-juaknya. Maka cabullah negeri Melayu itu dengan hal yang demikian itu. Maka menyuruhlah Sultan Mahmud itu akan seorang hambanya menikam Raja Zainal itu malam-malam pada tempat tidurnya. Maka matilah Raja Zainal itu digemparkan oleh orang-orang negeri itu mengatakan Raja Zainal mati ditikam oleh pencuri konon adanya.
                                                                                                                                    
                                                                                  (Tuhfat al-Nafis : 7)

(f) Penghujahan
Retorik yang terakhir ialah retorik jenis penghujahan. Retorik penghujahan ini membawa maksud pemujukan rasional atau intelek. Biasanya retorik jenis ini digunakan dalam perbahasan, perdebatan, pembicaraan, forum dan penulisan akademik. Di antara cirri-ciri penghujahan ialah memerlukan khalayak bersetuju dan yakin dengan pendapat yang dikemukakan serta haruslah disokong dengan bukti yang konkrit dan jelas. Teknik penyampaian retorik jenis ini terbahagi kepada dua iaitu secara deduksi dan induksi.

            Gaya retorik mempunyai pengaruh terhadap keindahan bahasa kerana sebahagian dari ilmu retorika khusus ditujukan untuk mengkaji dan mengatur pemakaian gaya bahasa yang menjadikan bahasa itu menarik. Gaya retorik ialah gaya yang terbit daripada kelainan atau boleh juga disebut penyimpangan daripada bentuk bangunan bahasa biasa yang lurus yang tidak berbunga-bunga, tidak berwarna-warni dan mempunyai makna langsung.
            Gaya bahasa bermaksud cara atau ragam bahasa itu dipakai, khususnya dalam tulisan atau karangan. Gaya bahasa sastera, tentulah gaya yang khusus digunakan untuk kesusteraan yang tidak sama dengan gaya menulis karangan-karangan yang lain. Kesusasteraan ialah kesenian yang menggunakan bahasa sebagai alatnya seperti seni lukis menggunakan cat dan berus sebagai alatnya. Perbezaan bahasa sebagai alat seni dengan bahasa sebagai alat komunikasi lainnya ialah bahasa alat seni itu mengandungi nilai estetik, iaitu nilai yang mengharukan dan membangkitkan perasaan. Jadi tidak saja menyampaikan idea dan maklumat tetapi penyampaian idea dan maklumat itu menimbulkan rasa keharuan, di samping merangsang daya fikir dan akal. Kehadiran nilai estetik itu menjadikan bahasa kesusasteraan mempunyai gaya tersendiri.
            Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah, Seri Lanang Jaya Rohani (2014), gaya bahasa terbahagi kepada lima jenis iaitu:
(i) Gaya bahasa pengulangan
(ii) Gaya bahasa penyirnaan
(iii) Gaya bahasa perbandingan
(iv) Gaya bahasa pertautan
(v) Gaya bahasa pertentangan

Skema Pengguguran
Asidenton –pengguguran kata hubung
Contohnya: “…makan tak kenyang, tidur tak lena” (Tuhfat al-Nafis : 13)
Skema Perulangan


1. Anafora – pengulangan perkataan yangsama pada permulaan klausa.
Contohnya : “Dia ketakutan melihat ramai orang berhampiran perahunya, lalu terjun ke laut ketika ombak besar. Dia hilang dibawa arus ke laut.” (Tuhfat al-Nafis : 160-161)

2. Polisindeton
Contohnya : “Seorang namanya Hang Jebat dan seorang namanya Hang Kasturi dan seorang namanya Hang Lekir dan seorang namanya Hang Lekiu. (Hikayat Hang Tuah : 24)

3. Paralelisme
Contohnya : “Maka dian, tanglung, kandil, pelita pun dipasang oranglah di 198 peseban itu. (Hikayat Hang Tuah : 158)
Skema Ragaman

1. Khusus- umum
“Maka dalam hal itu bapaku pun mendapat sakit payah di Sungai Baru, lalu pergilah segala adik kakak dari Melayu mengambil akan dia…(Tuhfat al-Nafis : 8)

2. Umum- khusus
“…Tuan Sekretaries Gobermen ke Melayu menyuruhkan bapaku pergi ke Riau dan Lingga, Melayu, Melayu…(Tuhfat al-Nafis : 9)
Majaz Pertautan
Majaz bermaksud memindahkan perkataan hakiki kepada bukan hakiki dan dapat difahami dengan adanya hubungan dan petujuk. Majaz pertautan (gaya bahasa pertautan) iaitu hubungan pertautan makna sama ada yang bersifat simbolik, perumpamanya/ tamsilan.

1. Disfemisme- kata-kata kasar untuk tujuan tertentu
“Lihatlah si tua celaka ini!” (Hikayat Hang Tuah : 215)

2. Eufemisme
“Silakanlah Datuk Inangda naik duduk, kerana tuan puteri lagi beradu”. (Hikayat Hang Tuah : 212)
Majaz Perbandingan
Majaz perbandingan (gaya bahasa perbandingan) iaitu penggunaan unsur-unsur bahasa yang bersifat membandingkan dua hal pada hal berlainan ataupun sengaja dianggap sama.

1. Simile- perbandingan secara langsung
Contohnya: “Seperti meniup api dalam air” (Tuhfat al-Nafis : 5)

2. Personifikasi
Contohnya: “Maka sepak raga itu pun berguling-guling hendak mati” (Hikayat Hang Tuah : 197)
Majaz Pertentangan (gaya bahasa pertentangan)

1. Hiperbola
Contohnya: “Jikalau ke laut api sekalipun, patik ikut juga”. (Hikayat Hang Tuah : 7)

Rujukan:
Keris Mas (1988). Perbincangan Gaya Bahasa Sastera. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani (2014). Karya Agung Melayu BMS3022. Perak : Universiti Pendidikan Sultan Idris. 


No comments:

Post a Comment