Nilai Ilmu dan Maklumat


Konsep Nilai
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1081), nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial (Mohd Rashid Md Idris, 2011:12), nilai (value) boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat (attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kuantiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Nilai juga diistilahkan sebagai ‘al-qimah’ dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau buruk dan betul atau salah. Nilai dan etika masyarakat Melayu dikatakan sangat mempunyai perkaitan rapat dengan perkara yang dianggap sebagai mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan.

Konsep Ilmu
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu merujuk kepada pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa ilmu adalah hal yang berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat. Maklumat yang disebarkan mengandungi pelbagai fungsi. Antara fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan ialah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandungi pelbagai kemusykilan dan lain-lain.

Jenis-Jenis Ilmu Dalam Karya Agung

JENIS ILMU
Ilmu Firasat
Ilmu Perdukunan
Ilmu Jampi
Ilmu Pengasih

Ilmu Firasat
Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Menurut Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama, haru atau ketika. Hal ini penting terutama dalam kalangan pahlawan-pahlawan kerana dengan itu ia boleh membantu mereka menewaskan musuh. Umumnya ilmu firasat dapat dibahagikan kepada tiga, iaitu firasat tilik nasib, firasat mimpi dan firasat terhadap binatang.

Firasat tilik nasib dalam Sejarah Melayu dipaparkan dengan jelas dalam episod serangan Melaka ke atas Pahang. Bendahara Paduka Raja memerintahkan pahlawan-pahlawannya mengejar Maharaja Dewa Sura yang melarikan diri. Dalam usaha itu, Seri Bija Diraja tidak tergesa-gesa seperti orang lain kerana dia tahu musuhnya itu tidak akan terlepas dari tangannya. Hal ini dapat dilihat daripada kata-kata beliau kepada anak buahnya :

“Di mana kamu semua orang muda-muda tahu? Kerana Maharaja Dewa Sura ini sudah aku kira-kirakan namanya di bawah namaku, dan harinya di bawah hariku dan ketikanya di bawah ketikaku, di mana ia akan lepaskan daripada tanganku? 
                                                                                 (Sejarah Melayu : 74)

Berdasarkan contoh petikan di atas, ramalan Seri Bija Diraja itu memang tepat. Beliaulah yang telah berjaya menangkap Maharaja Dewa Sura.

Firasat mimpi turut memainkan peranan penting dalam historiografi Melayu tradisional lain. Dalam Fasal 13, Bab II Bustan al-Salatin, unsur mimpi ada dikemukakan. Nuruddin menceritakan bahawa Sultan Iskandar Muda telah bermimpi tentang air persiraman puterinya dan Iskandar Thani. Sultan Iskandar Muda telah bermimpi pada malam Isnin, 12 Jamadilakhir, iaitu turun sebuah mahligai daripada cahaya dengan perhiasannya berisi air mandi dibawa oleh malaikat dari langit. Malaikatlah yang memandikan kedua-dua pasangan muda itu. Esoknya Sultan Iskandar Muda menitahkan bahawa mereka tidak perlu lagi dimandikan oleh Syeikh Syamsuddin dan Kadi Malik al-Adil. Petikannya ialah :

“Maka pada pagi-pagi hari sabda Raja Iskandar Muda kepada nenda Raja Serba Bawa, “Katakan kepada bondaku Syah Alam, janganlah bersusah lagi meandikan anakku kedua! Sudahlah mandi keduanya daripada air yang turun dari kudrat Allah Taa’la!”
                                                                           (Bustan Al-Salatin : 18)

Ilmu firasat terhadap binatang juga diamalkan misalnya dalam Hikayat Raja Pasai. Berikutan itu, anjing diberikan penghormatan oleh Raja-raja Melayu zaman terdahulu. Anjing memainkan peranan penting sehingga tertubuhnya sesebuah negeri. Dalam Hikayat Raja Pasai, penemuan negeri Pasai juga dikaitkan dengan anjing perburuan Merah Silu (sesudah memeluk Islam, bergelar Sultan Malikul Sultan Malikul Saleh). Anjing perburuan itu telah menyalak di sebuah tanah tinggi tanpa henti. Sultan Malikul Saleh kemudian berasakan bahawa tempat itu sesuai dibuat negeri lalu dinamakan tempat itu Pasai, sempena nama anjing perburuan tadi.

Ilmu Perdukunan
Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh dan pawang. Manakala perdukunan pula membawa maksud yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional yang berkaitan dengan ilmu dukun. Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Dalam kepercayaan itu, mereka menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan dengan itu, wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai, gunung-gunung dan fenomena lain. Kuasa ghaib tidak boleh dihubungi oleh orang sembarangan jadi dukun, pawang atau bomoh diperlukan. Terdapat juga golongan istana yang menggunakan dukun atau ahli nujum terutama sebelum kedatangan Islam atau tahap-tahap awal kemasukannya. Peranan ahli nujum agak berbeza dengan bomoh. Dia lebih kepada membuat ramalan. Berdasarkan Hikayat Hang Tuah, Nala Sang Guana telah meminta Laksamana Hang Tuah membuat ubat beranak untuk isterinya. Hang Tuah telah membuat suatu jenis ubat yang berupa seperti candu. Setelah sebulan, isteri Nala Sang Guana melahirkan bayi lelaki. Kemudian, Hang Tuah telah diberikan ganjaran oleh Nala Sang Buana.

Ilmu Jampi
Jampi menurut Kamus Dewan (2010), membawa makna kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Jampi dikatakan sebagai sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutamanya dalam perubatan. Pawang sebagai pembaca jampi adalah manusia luar biasa dan disifatkan sebagai manusia perantaraan makhluk dengan Khaliq atau supernatural. Jampi mantera yang diucapkan telah mendapat tempat yang istimewa. Satu hal yang menarik ialah jampi biasanya disampaikan dalam bahasa banjar. Jampi-jampi dikatakan boleh diwarisi oleh orang-orang tertentu. 

Menurut Mana Sikana (1996), jampi mempunyai tiga jenis, iaitu jampi menolak syaitan, jampi tawar bisa dan jampi pendamping. Jampi menolak syaitan dan pendamping merupakan jampi jenis larangan, manakala jampi tawar bisa ialah jenis perubatan. Jampi menolak syaitan digunakan untuk menghalau sekalian jenis jin. Jampi ini juga digunakan untuk mengubat penyakit yang berkaitan dengan makhluk halus tersebut. Jampi tawar bisa boleh digunakan untuk kesakitan serius seperti digigit ular berbisa dan boleh digunakan dengan dua cara, iaitu yang pertama ialah dengan cara menjampi terus pada tempat yang sakit dan yang kedua ialah dengan cara pembacaan ke dalam air. Jampi pendinding adalah jampi jenis yang cukup dominan dalam masyarakat Melayu. Jampi jenis ini boleh dikatakan dipelajari dan dipakai oleh kebanyakan orang Melayu sebagai alat pengebal atau empertahankan diri daripada perbuatan orang, baik secara halus ataupun terang. Jampi ini boleh digunakan dengan cara meminum  air yang telah dijampi atau jampi tersebut boleh ditulis di atas kertas lalu dipakai sebagai azimat. Perkara-perkara yang berkaitan dengan jampi juga ada sedikit sebanyak disebut dalam karya-karya agung seperti Hikayat Abdullah, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Seri Kelantan dan lain-lain lagi. Contohnya ialah : 

“Pawang ini pandai sunguh, sebab membaca-bacakannya, gajah itu pun takut akan dia.” 
                                                                            (Hikayat Abdullah : 55)


Ilmu Pengasih
Pengasih membawa maksud ilmu pengasih, jampi, azimat, doa, guna-guna dan lain-lain untuk mendatangkan atau membangkitkan raja kasih (Kamus Dewan, 2010). Ilmu pengasih adalah untuk mendapat pemujaan oleh seseorang yang jatuh hati kepada orang lain. Ilmu pengasih boleh digunakan dengan banyak cara, namun cara yang popular adalah dengan cara mencalitkan sesuatu minyak kepada seseorang yang berkenaan atau dengan cara menjampi gambar dan sebagainya. Harun Daud (2001), ada juga isi mantera, terutama jenis pengasih yang berkaitan dengan unsur alam seperti bintang, bulan dan matahari. Unsur-unsur itu digunakan sebagai kiasan kepada anggota badan pengamal supaya kelihatan cantik. Hang Nadim menggunakan ubat guna-guna untuk memikat Tun Teja. Ubat guna-guna tersebut dalam bentuk lulut (bedak) itu ternyata berkesan. Setelah ia disapu kepada badan Tun Teja oleh si pelulut beliau dengan serta-merta menyukai Sultan Mahmud dan sanggup menjadi isteri baginda. 


1 comment:

  1. Sumber : Mohd Rashid Md. Idris, Abdul Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani , Karya Agung Melayu BMS 3022.

    ReplyDelete