Estetik dalam Karya Agung Melayu


A. Wahab Ali (2000), secara umum atau secara mudah estetik itu merujuk kepada sesuatu objek alam dan seni yang bernilai dan berguna pada penglihatan dan penikmatan kita. Yang berguna untuk penglihatan dan penikmatan ini seperti sesuatu yang indah, yang mengagumkan, yang mempersonakan, yang menarik, yang cantik dan yang agung, termasuk juga yang melucukan. Pada keindahan itulah letaknya nilai estetik. Estetik itu merujuk kepada objek alam dan seni yang mempunyai nilai.

            Dari segi penglihatan dan penghayatan serta persepsi, sastera termasuk dalam bidang seni. Bidang seni itu terangkum dalam estetika (aesthetics). Apabila kita membaca buku-buku dalam bahasa Inggeris terutamanya dalam bidang seni, kita akan menemui perkataan aesthetic dan aesthetics. Dalam nahu, aesthetics itu adalah terbitan daripada perkataan aesthetic, plural daripada aesthetic. Aesthetics ialah satu bidang falsafah atau satu cabang falsafah yang mengkaji hal-hal yang berkaitan dengan seni dan keindahan.

            Persoalan indah itu melibatkan pengalaman dan sikap estetik; sikap kita menghadapi sesuatu yang kita katakan bernilai estetik. Dalam bidang estetika, kita juga mengkaji sifat-sifat seni atau the nature of arts. Dalam the nature of arts, termasuk penciptaan seni; bagaimana proses ciptaan seni itu maka ia menjadi hasil seni. Ia dikaji dan dipersoalkan. Di samping itu, hakikat seni dalam the nature of arts itu juga mempersoalkan berbagai-bagai teori seni. Teori-teori itu termasuklah teori-teori yang berkaitan dengan sastera kerana sastera itu adalah satu cabang seni. Umpamanya teori formalism, teori peniruan, teori imitasi sebagaimana yang terdapat dalam lukisan. Teori peniruan merupakan peniruan daripada alam, meniru berbagai-bagai jenis daripada alam. Teori peniruan ini berkembang menjadi pelbagai aliran.

            Dalam penulisan novel atau cerpen, pengarang sebenarnya meniru cerita daripada kehidupan. Biasanya kehidupanlah yang dijelmakan dalam ciptaan itu, cuma pengarang menggunakan imaginasi merubah beberapa perkara daripada yang sebenar ke dalam satu realiti kehidupan menurut maksud yang hendak dikonsepsikannya melalui karyanya itu. Penciptaan yang sedemikian itu termasuk dalam bidang estetika.
Bahasa Melayu Klasik.

Takrifan tentang Bahasa Melayu Klasik perlu dibuat terlebih dahulu sebelum kita memahaminya. Menurut Kamus Dewan (1986), perkataan klasik sebagai kesenian atau kesusasteraan yang lama atau yang mempunyai sifat-sifat yang tidak lagi terpakai. Perkataan klasik juga turut diberikan beberapa definisi oleh pengkaji bahasa. Antaranya ialah Asmah Hj.Omar (1993), “ bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik”. Bahasa Melayu klasik pula menurut Ismail Hussein (1966), “ pembahagian bahasa Melayu Klasik di buat oleh adalah atas pertimbangan sejarah perkembangan bahasa Melayu”. Pembahagian ini dibuat mengikut zaman politik iaitu zaman Srivijaya, Majapahit, Melaka, dan sebagainya. Contohnya pada zaman politik Srivijaya, masyarakatnya yang beragama Hindu dan Buddha, menggunakan tulisan yang dibawa dari India, sasteranya dipenuhi oleh cerita-cerita sastera India dan bahasa Melayunya dengan pinjaman kata-kata Sanskrit.

ESTETIK DALAM KARYA AGUNG

Pengenalan
Karya agung ialah karya klasik yang memberikan kesan budaya, pemikiran, pandangan serta falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan sesuatu bangsa. Karya agung yang dihasilkan merupakan pembentuk dan cerminan budaya dan tamadun sesuatu bangsa. Ia melambangkan keunggulan daya cipta sesuatu bangsa dalam membina tradisi dan identiti yang tersendiri. Bangsa Melayu turut memiliki khazanah karya agung yang bernilai tinggi. Karya agung Melayu mengandungi idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya dalam bentuk sastera dan seni. Karya agung Melayu ditulis dan diungkapkan dalam bahasa Melayu yang tidak mengambil kira bangsa atau etnik dalam kawasan dunia Melayu. Antara contoh karya agung Melayu ialah Salalatus-Salatin, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Acheh dan sebagainya.

Definisi Estetik
Menurut Kamus Dewan (2007), estetik bermaksud bukan keindahan atau penghargaan terhadap keindahan (terutamanya dalam bidang seni), manakala estetika pula bermaksud cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan, cita rasa dan lain-lain.  Estetik menurut Agus Sachari (2002: 2), adalah suatu ilmu filsafat yang telah menempatkannya pada suatu titik antara realiti dan abstrak, serta antara keindahan dan makna. Perkataan estetik dalam bahasa Yunani ialah ‘aisthesi’ yang membawa maksud hal-hal yang dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus lagi ialah ‘kepekaan’. Estetik juga boleh diertikan sebagai persepsi pancaindera (sense of perception). Ahli Filsafah Jerman bernama Alexander Baumgarten (1714-1716) adalah orang pertama yang telah memperkenalkan perkataan ‘aisthetika’. Namun demikian, Cottfried Leibniz (1646-1716) telah meneruskan pendapatnya mengenai estetik dan memberikan penekanan kepada pengalaman seni sebagai suatu bentuk ilmu.

Pandangan-pandangan mengenai estetik di atas, setiap waktu mengalami pergeseran, sejalan dengan pergeseran konsep estetik setiap zaman. Pandangan bahawa estetik hanya mengkaji segala sesuatu yang indah (cantik dan gaya seni), telah lama berubah kerana terdapatnya kecenderungan karya-karya seni moden yang tidak lagi menawarkan kecantikan seperti zaman Klasik, tetapi lebih kepada makna dan aksi mental.

Konsep Keindahan Melayu Klasik
Pengertian istilah ‘keindahan’ tidak sederhana lagi ketika dikaitkan dengan pemikiran seni. Persoalannya yang mengundang pemikiran adalah membezakan keindahan sebagai rasa (sense) dan keindahan sebagai fenomena (kecantikan, keserasian) yang menimbulkan rasa ini. Di dunia seni, selok-belok keindahan dikenali sebagai persoalan ‘estetik’. Istilah ‘estetik’ ini berasal dari istilah dalam bahasa Yunani kuno, iaitu ‘aesthesis’, yang pengertiannya adalah ‘persepsi rasa’ (sense perception). Dalam kebudayaan Yunani, persepsi rasa ini merupakan sebahagian dari dunia filsafat dan boleh diertikan sebagai ‘fikiran yang muncul dari rasa’.

            Pada dasarnya, sastera klasik merupakan karya sastera budaya dan etnik (daerah). Bangsa-bangsa di kawasan Asia Tenggara sangatlah beruntung kerana memiliki khazanah sastera klasik yang amat beragam dan kaya. Wilayah-wilayah budaya dan etnik itu masing-masing memiliki sastera klasik, yang semuanya memiliki sifat-sifat yang khas. Karya sastera ini timbul dan berkembang pada zaman yang belum mengenal istilah demokrasi, HAM (Hak Asasi Manusia), industrialisasi, globalisasi, dan anasir-anasir moden lainnya.

            Sastera klasik sebahagian besarnya berakar dari sikap hidup tradisional yang feudal. Adalah wajar apabila kemudiannya muncul pertanyaan; nilai apa lagi yang masih dianggap relevan dan bermanfaat dari penelitian sastera klasik dalam konteks kehidupan yang serba moden seperti sekarang. Dalam karya-karya klasik memang terkandung pemikiran-pemikiran yang dekaden, penuh tahyul, dan menidurkan. Hal ini demikian sukar untuk diterjemahkan. Cerita-cerita masa lampau mengandungi banyak unsur yang tidak relevan lagi dengan nafas modernisme dan semangat demokrasi. Karya dan kehidupan klasik (tradisional) sukar dipisahkan dari unsur feudalisme dan mistisisme. Namun demikian, hal lain yang tidak boleh dilupakan adalah bahawa sastera klasik merupakan catatan hidup dan kehidupan manusia masa lampau, sebagai sebahagian dari karya-karya kemanusiaan. Hal ini bermakna, karya-karya sastera klasik tidak mungkin lepas dari nilai-nilai kemanusiaan yang universal.

            Bahawa masa lampau dan masa kini adalah merupakan sebuah jurang. Antara kedua-duanya memerlukan sebuah jambatan. Pertemuan antara keduanya sangatlah penting untuk membangun satu bentuk konvergensi budaya yang berkeperibadian, tanpa harus kehilangan identiti kebangsaannya.Penggalian terhadap sastera klasik diharapkan dapat memperoleh nilai pengalaman, perasaan, dan pemikiran esensial kemasyarakatan. Pemerolehan akan nilai-nilai tersebut sangat bermanfaat untuk menambah kearifan dan kebijakan hidup, baik di masa sekarang mahupun pada masa yang akan datang (Alfian et al, 1992).

            Penggalian-penggalian terhadap hal-hal di atas telah banyak dilakukan, baik oleh para filologi mahupun ahli-ahli dari disiplin ilmu lain (antropologi, sosiologi, dan sebagainya). Hasilnya, mereka mengakui bahawa karya-karya sastera klasik ternyata sarat dengan nilai terutamanya estetik. Dalam karya-karya klasik banyak terkandung pesan-pesan moral, didaktis, dan adat-istiadat (Djamaris, 1990; Fang, 1991; dan Danandjaja, 1994). Temuan-temuan tersebut tentunya bukan sesuatu yang akhir. Yang selama ini dilakukan umumnya masih terpisah-pisah, hanya berfokus pada karya sastera itu sendiri. Jenis sastera Melayu Islam merupakan karya klasik yang belum mendapat perhatian sebagaimana mestinya. Padahal karya-karya ini lebih dominan dalam khazanah perkembangan sastra Nusantara.

Konsep Klasik
Istilah yang sama maksud dengannya ialah tradisional atau lama. Istilah tradisional digunakan bagi menggantikan istilah lazim yang digunakan sebelum ini (lama dan klasik). Istilah klasik mempunyai makna dan nilai estetik atau keindahan yang lebih tinggi dari perspektif dunia. Istilah ini juga mengandungi dan mengekalkan nilai estetik serta sifat keindahan pada semua keadaan dan zaman serta melewati zamannya sendiri. Ketinggian nilai bergantung kepada ‘kelamaannya’ dan ciri-cirinya yang diterima dengan utuh oleh semua pandangan di peringkat antarabangsa.

            Istilah klasik juga mengandungi makna masa yang menerangkan tempoh waktu sesuatu karya dihasilkan dan lebih tinggi ‘kedudukannya’ berbanding makna tradisional. Istilah lama tidak membawa makna yang mengandungi ketahanan atau keutuhan nilai baik dari sudut estetik mahupun nilai zaman. Istilah ini tidak sesuai bagi menggambarkan karya-karya agung kesusasteraan Melayu yang kebanyakan hasilnya telah dibuktikan mengandungi nilai-nilai peradaban yang tinggi.

Makna Luaran dan Dalaman
Sesebuah karya lazimnya mempunyai konsep keindahan dari aspek makna luaran dan juga makna dalaman seperti berikut:

Makna Luaran
Menurut V. I. Braginsky (1994), keindahan luaran merupakan keindahan yang dicerap melalui pancaindera. Justeru, keindahan itulah yang mesti disampaikan kepada pembaca oleh karya sastera zaman klasik dengan cara-cara tersendiri, iaitu melalui keindahan luaran sebagai bentuk, isyarat dan petunjuk.

Makna Dalaman
Menurut V. I. Braginsky (1994), keindahan dalaman merupakan keindahan yang tersirat, iaitu tidak dinyatakan dan tidak dapat dirasakan tetapi yang dicerap akal. Keindahan dalaman itu memberi landasan pada keindahan didaktik.

Kaitan dan Perbezaan antara Makna Luaran dan Makna Dalaman
Dalam bidang sastera, keindahan dan estetik dapat dikesan melalui keseimbangan bentuk luaran dan dalaman. Isinya juga mengalami transformasi ke arah pembaharuan nilai. Keindahannya, seimbang dalam nada, diksi, rima, ritma, matra suku kata, asonansi, simile, merupakan elemen-elemen penting, khususnya dalam karya sastera puisi iaitu sajak. Selain itu, ada nilai falsafah yang sederhana, kekuatan idea dan pemikiran serta kekuatan penguasaan bahasanya membawa dan memilih gaya baharu. Antaranya penyair Usman Awang (Pak Utih, Bunga Popi, Penjual Pisang di Kaki Lima, Balada Terbunuhnya Beringin Tua dan Pantun Moden), A.Latiff Mohidin (Rawa-Rawa dan Mangkuk Sejarah Mangkuk Berdarah). T. Alias Taib (Tukang Gunting dan Pasar Pengalaman) dan beberapa sajak penulis lain yang tidak dapat disebutkan di sini.

            Konsep makna luaran dan makna dalaman telah dipaparkan dengan terperinci oleh para pengikut aliran sufi Wahdat al-Wujud, terutamanya oleh Abd al-Karim al-Jili yang memandang keindahan dalaman sebagai keindahan Ilahi dan keindahan luaran sebagai keindahan alam fizikal. Konsep berkenaan tidak asing pula bagi para pengarang Melayu yang sering menamakan makna dalaman dengan kata yang elok dan makna luaran sebagai indah. Makna luaran dan makna dalaman terpapar kepada pembaca melalui teks karya sastera, iaitu melalui teks yang mengikut hukum estetik dan yang diresapi oleh keindahan.

            Ajaran tentang dua jenis atau lebih tepat dua aspek makna juga menampung pengertian ‘faedah’ atau ‘manfaat’ sesebuah karya sastera. ‘Faedah’ tersebut lahir daripada lubuk karya sastera daripada susunannya yang diatur secara khusus, daripada pemakaian imejnya yang istimewa, serta daripada gaya bahasa yang berlainan daripada gaya bahasa sehari-hari. Maka, faedah itu ternyata sama sahaja dengan keindahan dalaman atau keindahan didaktik, manakala mencerap keindahan luaran dengan deria lihat atau deria dengar manusia hanya dapat menghiburkan duka dan lara.

            Keindahan dipandang oleh para sasterwan Melayu pada Abad Pertengahan sebagai faedah yang paling rendah. Walau bagaimanapun, makna luaran juga dapat lahir hanya dalam struktur teks yang teratur. Bukanlah sesuatu kebetulan dalam cerita-cerita panji, sasterawan Melayu yang menyatakan bahawa hanya dengan bantuan karya sastera mereka, pembaca dapat melepaskan diri daripada duka yang merundung mereka. Dengan meluahkan perasaan secara sembarangan, nescaya mereka tidak akan terhibur (V. I. Braginsky, 1994:8). Untuk membezakan dua jenis makna luaran dan makna dalaman, Imam Ghazali menulis:

“Ketahui olehmu bahawa orang yang terkongkong oleh imaginasi dan pancaindera barangkali menganggap keindahan dan kemanisan ialah tidak lain daripada harmoni rupa dan kebagusan warna… memang, keindahan yang disangka manusia sebagai sesuatu yang menarik pandangan dan paling sering manusia melihat kecantikan manusia lain. Oleh itu, dia mungkin berfikir, mustahil membayangkan keindahan sesuatu yang tidak dilihat mata, yang tidak terjangkau imaginasi, yang tidak mempunyai rupa dan warna… ini jelas satu kesesatan. Keindahan tidak terbatas dalam rangka benda-benda yang dapat dilihat dan tidak pula merupakan sekadar keselarasan bentuk dan rupa yang penuh harmoni ataupun kesepadanan putih kulit dan merah pipi. Ketahui olehmu bahawa sesuatu yang tidak dirasakan oleh pancaindera boleh juga dikira indah dan baik. Ketika orang berbicara tentang akhlak mulia maksudnya adalah pengetahuan, kecerdikan, budi bahasa, keberanian, iman kukuh, kemurahan hati dan lain-lain sifat baik. Banyak daripada sifat-sifat tersebut dihayati bukannya dengan pancaindera, tetapi dengan sinar akal. Meskipun sesebuah imej maujud atau mujarad imej itu sama dihiasi keindahan dan daya memikat hati, tetapi imej yang dapat dilihat (maujud) terdedah kepada penglihatan, manakala imej dalaman (mujarad) dicerap dengan akal. Yang tidak memilih akal itu tidak sedar akan imej mujarad, tidak senang kerananya, tidak mencintainya dan tidak pula cenderung kepadanya, sedangkan yang memiliki akal yang lebih kuat daripada pancaindera lebih mencintai mujarad daripada maujud. Alangkah besar bezanya antara orang yang kagum kepada ukiran di dinding kerana keindahan rupa luarannya dan orang yang kagum kepada seorang nabi kerana keindahan rohaninya”.

MAKNA LUARAN DAN DALAMAN DALAM KARYA KESUSASTERAAN
Golongan karangan yang termasuk dalam sfera keindahan (luaran) merupakan peringkat pertama (paling rendah) dalam sistem kesusasteraan Melayu klasik. Golongan berkenaan merangkumi karya-karya yang bertujuan menanam harmoni dalam hati manusia dan dengan demikian mencipta syarat bagi mendidik budi bahasa pembaca. Karya-karya tersebut merupakan sejenis continuum. Hal ini disebabkan antara karya-karya itu, terdapat karangan bertulis yang sekali gus wujud dalam bentuk lisan (kalau dibacakan serta karya-karya teatrikal (untuk dipentaskan sebagai lakon wayang). Golongan berkenaan menampung hikayat yangmengakar dalam epos Sanskrit dan purana. Hikayat tersebut sampai ke dunia Melayu menerusi perantaraan Jawa (Hikayat Seri Rama, Hikayat Pendawa Jaya, Hikayat Sang Boma dan lain-lain). Cerita-cerita panji yang berasal daripada kesusasteraan Jawa mesti juga digolong dalam kumpulan karya peringkat pertama.

            Sfera faedah (keindahan dalaman) yang merupakan peringkat kedua tertinggi dalam sistem kesusasteraan Melayu klasik terdiri daripada dua kumpulan genre pelbagai ‘cermin’ dan pelbagai ‘sejarah’. Menurut tradisi Islam, manusia ialah makhluk berakal sejak kelahirannya. Tetapi akalnya itu masih dalam potensi sahaja. Akal bagaikan lilin yang belum diberi rua. Pengetahuan yang meninggalkan bekas-bekasnya pada ‘lilin’ itu boleh membentuk manusia dalam dua cara. Manusia boleh dididik dan didewasakan sebagai makhluk sosial dengan perasaan dan fikiran halus, iaitu sebagai makhluk beradab atau sebagai peribadi yang dahagakan pengetahuan sistematik tentang pelbagai bidang alam semesta seperti ilmu ketuhanan.

            Manusia yang beradab itu dididik oleh karangan yang merupakan cermin didaktik. Dalam kesusasteraan Melayu klasik, karangan yang merangkumi cermin-cermin itu sendiri merupakan sejenis buku pelajaran etika, kebijaksanaan hidup serta pengurusan negara (Taj as-Salatin, Bustan as-Salatin, nasihat-nasihat ringkas buat raja-raja yang biasanya ditulis dalam bentuk prosa dan kadang-kadang puisi). Di samping itu, genre cermin juga meliputi hikayat-hikayat berbingkai (Kalilah dan Daminah, Hikayat Bakhtiar dan Hikayat Bayan Budiman), antologi besar dan kecil yang bersifat didaktik serta syair-syair yang membincangkan soal etika, kadangkala dalam bentuk alegori.

Sumber:
A. Wahab Ali (2000). Kritikan Estetik Sastera. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
http://duniakaryaagungku.blogspot.com/2013/05/keindahan-retorik-melayu-klasik-dalam.html
http://karyaagungmelayu90.blogspot.com/2013/05/estetik-dalam-karya-agung.html




No comments:

Post a Comment