Analisis Karya Agung

HIKAYAT HANG TUAH

Hikayat Hang Tuah merupakan satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita, kebolehan, dan sikap hidup orang-orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah yang menerajui hikayat ini, mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat kesetiaan, keberanian, kepintaran dan budi bahasa yang halus. Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta pahlawan Melayu yang gagah semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka pada abad ke-15. Pada masa umurnya sepuluh tahun, Hang Tuah bersahabat karib dengan empat orang yang sebaya dengannya, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka bagaikan isi dengan kuku. Ketika belayar ke Pulau Tinggi, Hang Tuah dan sahabatnya telah membunuh segerombolan lanun lalu mereka diambil berkhidmat di bawah Sultan oleh Bendahara yang kagum akan kepahlawanan mereka pada usia yang begitu muda.

Ketika Hang Tuah mengiringi Sultan ke Majapahit, beliau menyahut cabaran seorang pahlawan Jawa yang termasyhur dikenali sebagai Taming Sari dan berjaya memperoleh sebilah keris yang dinamakan ‘Taming Sari’ sempena nama pemiliknya yang asal. Kemenangannya menyebabkan Hang Tuah dikurniai bukan sahaja keris ‘Taming Sari’ tetapi juga gelaran Laksamana dan sepersalinan pakaian oleh Seri Betara.

Laksamana Hang Tuah telah menjadi orang kesayangan sultan dan hal ini menimbulkan rasa iri hati dalam kalangan kerabat diraja termasuk Patih Karma Wijaya. Suatu tuduhan palsu telah dibuat terhadap Hang Tuah iaitu, beliau dituduh berzina dengan dayang sultan, dan Hang Tuah serta-merta dijatuhi hukuman mati oleh sultan yang murka tanpa sebarang usul periksa. Bagaimanapun, hukuman mati itu tidak dilaksanakan oleh bendahara, dan Hang Tuah disembunyikan di Inderapura.

Hang Jebat telah melancarkan pemberontakan balas dendam terhadap Sultan Mansur Shah demi membalas kematian Hang Tuah. Sultan telah mengisytiharkan Hang Jebat sebagai penderhaka dan berasa menyesal kerana menjatuhkan hukuman mati kepada Hang Tuah.

Akhirnya, bendahara membuka rahsianya dan memanggil Hang Tuah pulang daripada persembunyian. Hang Tuah telah diampuni oleh sultan. Suatu perlawanan yang amat menyedihkan telah berlaku antara Hang Tuah dengan Hang Jebat. Selepas berlawan selama tujuh hari, Hang Tuah telah berjaya membunuh Hang Jebat dan mendapat keris Taming Sarinya semula. Jebat mengamuk selama 3 hari sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Kemudian, orang-orang Feringgi (Portugis) berjaya menawan Melaka dengan membedil kota Melaka. Penggempuran ini telah dilakukan serentak dengan kedatangan dua angkatan laut dari Manila dan negara Feringgi. Para pahlawan Melaka telah berjaya ditewaskan dan seterusnya berundur ke selatan. Di sini, mereka mendirikan sebuah kerajaan baharu yang dikenali sebagai Kerajaan Johor Lama.

Maka, Hang Tuah terus menghilangkan diri dan beliau tidak pernah dilihat lagi. Berita tentang Laksamana Hang Tuah juga tidak kedengaran lagi tetapi beliau dipercayai masih hidup pada akhir hikayat ini. Hikayat ini diakhiri dengan semangat nasionalisme yang kekal sehingga hari ini, iaitu “Takkan Melayu Hilang di Dunia.” Hikayat Hang Tuah turut dikemukakan oleh Malaysia sebagai Warisan Dunia untuk dimasukkan ke dalam Daftar Ingatan Dunia -  Memory of the World Register pada 2001.


Pemikiran Pengarang Hikayat Hang Tuah

Pengarang Hikayat Hang Tuah mempunyai idealisme untuk mengangkat martabat bangsa Melayu setinggi mungkin. Hal ini dapat dilihat apabila pengarang banyak menceritakan kebudayaan dan sosial masyarakat Melayu yang membawa pengertian yang luas merangkumi segala hal berkaitan dengan masyarakat termasuklah sistem sosial, struktur sosial, bentuk kepercayaan, perhubungan antara anggota masyarakat dan strategi fikasi sosial, kepercayaan dan agama. Watak-watak yang diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah seperti watak Hang Tuah, Hang Jebat, Tun Teja menunjukkan keasliaannya dan menggambarkan watak-watak bangsa Melayu yang mewakili zamannya. Dalam teks ini, watak Hang Tuah membawa lambang kesempurnaan bangsa Melayu yang dapat dijadikan sebagai contoh oleh generasi yang terkemudian. Hal ini demikian kerana, setiap perlakuan serta perbuatan Hang Tuah melambangkan keperibadian bangsa Melayu itu sendiri.

Menurut Hasan Ahmad (1997), penonjolan jati diri Melayu menerusi watak Hang Tuah bersesuaian dengan kehendak atau ciri-ciri karya tersebut yang dianggap oleh kebanyakan sarjana sebagai salah sebuah karya agung bagi bangsa Melayu. Hal ini ternyata sekali jika kita merujuk mengenai persoalan pengorbanan untuk raja, agama serta bangsa seperti yang telah ditunjukkan melalui watak Hang Tuah dalam hikayat ini. Dalam hikayat ini dipaparkan bagaimana Melaka dan Majapahit yang merupakan dua bangsa yang mewakili bangsa Melayu dan Jawa bersaing sesama sendiri demi mempamerkan kejaguhan dan keagungan bangsa masing-masing. Dalam Hikayat Hang Tuah juga turut digambarkan bahawa masyarakat Melayu yang diwakili Hang Tuah sering disaingi serta diancam dengan penampilan watak negatif Jawa. Pahlawan-pahlawan Jawa sering mencuba untuk menggugat kedudukan kerajaan Melayu Melaka dan mencabar kepahlawan Hang Tuah. Ketika Hang Tuah berada di Majapahit, dapat dikesan penegasan dan penonjolan istilah Melayu atau bangsa Melayu, misalnya:

“ Maka kata Patih Gajah Mada, bukan engkau sekalian aku hendak menyuruh mengalahkan negeri. Engkau hendak kusuruhkan mencuba hulubalang Melayu yang datang itu…”
( Hikayat Hang Tuah, hlm. 115 )

Sehubungan itu, penampilan Hang Tuah bukan sekadar untuk menyedapkan penceritaan tetapi pengarang berhasrat untuk menjadikan watak tersebut sebagai lambang keagungan bangsa Melayu. Hal ini dapat dilihat pengulangan istilah Melayu dalam Hikayat Hang Tuah seperti berikut:

“Maka Tun Tuah melompat menyalahkan tikam penjurit itu, seraya katanya, ‘Akulah hulubalang Raja Melaka, syahdan akulah yang bernama Laksamana, hulubalang pada Tanah Melayu;…”
( Hikayat Hang Tuah, hlm. 155 )

Dalam hal ini, jelas watak Hang Tuah mewakili bangsa serta negara atau kerajaannya, iaitu Kesultanan Melayu Melaka dan bangsa Melayu.


SULALATUS SALATIN

Konsep Penulisan
Sualaltus Salatin dianggap sebagai sebuah karya sejarah yang universal bagi masyarakat Melayu tradisi khususnya yang berpusat pada Empayar Melayu Melaka. Di dalamnya digambarkan mengenai alam masyarakat Melayu tradisi yang merangkumi bidang politik, ekonomi, masyarakat dan juga agama. Dalam lingkungan tersebut yang terpenting adalah orang Melayu atau orang Melaka dengan raja-rajanya, peristiwa yang berlaku dan tindakan yang dilakukan di sekitar ketokohan dan alam persekitaran mereka. Orang luar dan peristiwa luar tidak begitu dipentingkan dan dianggap sebagai unsur sampingan yang berfungsi untuk mengukuhkan kedudukan dan keagungan seorang tokoh mahupun budaya tempatan. Orang Melayu Melaka digambarkan sebagai orang yang bijak, serba boleh, dan terkenal. Sebagai contoh, Sultan Alauddin Riayat Syah dianggap sebagai terlalu perkasa tiada berbagai-bagai pada zaman itu. Penulis menggambarkan betapa orang Melayu Melaka tidak pernah kalah dalam apa juga bidang yang diceburi. Isi kandungan Sulalatus Salatin telah menampakkan sentrik Melaka dengan begitu jelas dan inti pati kandungannya menceritakan tentang sejarah kebangkitan dan perkembangan Empayar Melayu Melaka dari awal sehingga menjadi sebuah entiti tamadun yang masyhur dan terbilang. Kebangkitan dan perkembangan Melaka sebagai sebuah tamadun yang masyhur dan terbilang adalah peranan raja dan pembesar yang menerajui tampuk pemerintahan yang turut menjadi peristiwa penting yang digambarkan di dalam karya ini. Pada bahagian akhir diceritakan tentang kemasyhuran Melaka yang telah menarik minat kuasa asing iaitu Portugis yang berminat untuk menawan  pusat kegiatan politik, pentadbiran dan ekonomi perdagangan empayar Melaka. Dengan kata lain, apa yang digambarkan ialah tentang kemunculan, kegemilangan serta kebesaran Empayar Melayu Melakasebagai sebuah pusat tamadun dunia, di mana raja serta pembesar memainkan peranan masing-masing sama ada usaha membangunkan empayar mahupun dalam mengekalkan keunggulan serta kesejahteraannya.

Kekuatan Kepengarangan
Sebagai sebuah hasil karya persejarahan tradisi, Sulalatus Salatin mengandungi ciri dan bentuk yang sama dengan beberapa buah karya persejarahan tradisi dalam peradaban lain. Persamaan tersebut dilihat bukan hanya dengan adanya unsur kesusasteraan, tetapi juga dari tujuan penulisan dan juga kandungan peristiwa yang kerap berlegar di sekitar peperangan, pengembaraan dan kepahlawanan. Karya ini turut memuatkan mengenai semangat kewibawaan, keagungan serta kegemilangan tokoh den peradaban yang berkenaan. Hasil persejarahan tradisi Melayu seperti Sulalatus Salatin ini mempunyai keistimewaannya tersendiri. Malah, karya ini merupakan satu karya yang unik, yang boleh dikatakan tidak terdapat dalam mana-mana karya yang lain.  Perkara itu berhubung dengan unsur kesusasteraan yang berkaitan dengan fungsi dongeng dan mitos. Dalam persejarahan Melayu, unsur ini mempunyai fungsi kemasyarakatan dan sejarahnya tersendiri. Unsur tersebut dimuatkan dengan tujuan memberitahu masyarakat tentang sesuatu peristiwa dan fenomena yang tidak boleh disampaikan secara terus terang dan terbuka. Hal ini adalah kerana, nilai dan norma masyarakat Melayu pada ketika itu tidak membenarkan sesuatu yang biadab dan memalukan dipaparkan secara terang-terangan. Jika dilakukan juga, perbuatan itu akan menyebabkan seseorang itu dianggap biadab, tidak tahu adat, dan lebih teruk lagi dianggap sebagai derhaka. Dengan menyatakan sesuatu itu secara halus, pihak pengarang merasakan para pembaca atau pendengar dapat memahami mesej yang ingin disampaikan dengan lebih jelas lagi. Pihak yang disindir pula akan menerimanya dengan tenang kerana selaran itu dilakukan dengan cara yang bersopan-santun.  

Motif Pengarang
Motif penulisan Tun Seri Lanang adalah untuk ‘menyukakan duli hadrat baginda Sultan’ dan  adalah supaya perihal yang berkenaan diketahui dan diingati oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita. Jelaslah disini bahawa, Tun Seri Lanang menulis Sulalatus Salatin adalah atas perintah Sultan dan agar karya sejarah ini dapat menjadi iktibar dan ingatan buat generasi akan datang. Motif seperti ini menggambarkan sifat subjektif karya dan pengarangnya sendiri, iaitu subjektif terhadap peradaban, raja-raja dan bangsanya.  

Pengarang Sulatus Salatin : Tun Sri Lanang
Tun Sri Lanang merupakan timang-timangan yang diberikan kepada Tun Muhammad, anak Tun Ahmad Paduka Raja yang merupakan seorang Bendahara Kerajaan Johor pada kurun ke-17 Masihi. Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor pada tahun 1565. Beliau adalah Bendahara Johor pada ketika itu dan setelah Johor kalah dalam peperangan dengan Aceh yang pada ketika itu diperintah oleh Sultan Iskandar Muda Aceh. Beliau kemudiannya telah dibawa ke Aceh pada tahun 1613 dan telah menetap di negeri Samalanga. Sultan Iskandar Muda telah melantik beliau sebagai penasihat utama Baginda dan diberi delaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’. Beliau telah mendirikan pusat penyebaran agama Islam dan pendidikan terutamanya di negeri-negeri pesisir timur Aceh. Beliau kemudiannya telah di angkat menjadi raja di negeri Samalanga pada tahun 1615. Beliau telah mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan telah dimakamkan di sana.

Tun Sri Lanang sangat dikenali oleh kerana karyanya iaituSulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang merangkumi pelbagai sejarah masyarakat Melayu, Jawa, Brunei, Patani dan Campa. Kebenaran tentang beliau sebagai penulis asal atau sekadar penyunting kitab tersebut tidak dapat dipastikan dengan tepat. Namun menurut Syeikh Nuruddin al-Raniri, ulama dan penasihat agama Sultan Aceh, telah memperakukan Tun Sri Lanang sebagai pengarang dan penyusun Sulalatus Salatinkerana beliau kenal rapat dengan Tun Sri Lanang. Kitab tersebut telah dapat disiapkan penulisan dan penyuntingannya oleh Tun Sri Lanang dalam masa dua tahun iaitu pada tahun 1614 selepas tarikh penulisannya yang dimulai pada tahun 1612 Masihi. Sulalatus Salatin adalah diperakui sebagai satu sumber terkaya dan terlengkap yang menceritakan tentang sejarah bangsa-bangsa di Nusantara.

Kandungan Sulatus Salatin
Tun Sri Lanang telah menghasilkan sebanyak 15 bab dalam Sulalatus Salatin ini. Dalam setiap bab, dipecahkan pula kepada beberapa bab-bab kecil mengikut kesesuaian penulisannya. Berikut adalah perincian sinopsis dalam Sulalatus Salatin :

Perincian Sinopsis
Raja Iskandar Zulkarnain dari Makaduniah berperang dengan Raja Kida Hindi dan kemudian berkahwin dengan Puteri Syahrul Bariah. Raja Suran turun ke Dika dan berkahwin dengan Puteri Mahtabul Bahri. Hasil perkahwinan itu, mereka mendapat tiga orang putera iaitu Nila Pahlawan, Krisyna Pandita dan Nila Utama. Kesemua anak-anak Raja Suran menjadi raja di negeri masing-masing. Nila Utama menggunakan nama Seri Teri Buana semasa menjadi raja dan mahu berkahwin dengan puteri Demang Lebar Daun dan diadakan waad di antara mereka. Seri Teri Buana gemar mengembara sehinggalah berjumpa dengan Singapura.

Badang merupakan seorang hamba yang beroleh gagah setelah memakan muntah hantu dan akhirnya dimerdekakan oleh tuannya. Merah Silu dan Merah Caga merupakan dua bersaudara. Merah Silu menahan lukah dan mendapat cacing gelang yang apabila direbus bertukar menjadi emas. Merah Caga ingin membunuh saudaranya itu kerana merebus cacing tersebut dan akhirnya Merah Silu melarikan diri sehinggalah bertemu dengan sebuah tempat yang diberikan nama Semundera. Tuan Jana Khatib datang ke Singapura dan menunjukkan kepandaiannya menilik sepohon batang pinanh di hadapan istana raja sehingga membuatkan raja murka lalu membunuhnya.

Sultan Muzaffar Syah menceraikan isterinya untuk diberikan kepada Seri Nara Diraja atas tujuan mendamaikan Melaka dan kemudian berkahwin dengan Puteri Raden Galuh Cendera Kirana. Hang Tuah difitnah bermukah dengan dayang raja dan dihukum bunuh. Orang-orang Melaka yang diketuai Tun Perpatih Putih dapat melihat wajah raja China setelah memakan kangkung yang dibelah tanpa dikerat. Tun Muhammad membunuh Tun Besar kerana sepak raga terkena destar Tun Muhammad. Sultan Mansur Syah merajakan Tun Muhammad di Pahang.

Raja Cempa menjumpai seorang budak dalam mayang pinang dan diberi nama Pau Gelang. Raja Haru mengamuk di Pasai setelah surat yang bertulis “salam” disebut “sembah”. Selepas Telanai Terengganu pulang, Sultan Muhammad menitahkan Seri Akar Raja membunuh Telanai itu. Sultan Muhammad Syah mengganggu isteri Tun Biajid dan hampir-hampir dibunuh oleh Tun Biajid. Seri Wak Raja ingin membunuh Tun Isap tetapi Sultan Mahmud menyuruh Tun Isap melarikan diri. Bendahara Putih mati dan digantikan dengan Bendahara Seri Mahara Tun Mutahir. Sultan Mahmud menitahkan pembesar untuk meminang Puteri Gunung Ledang dan muncul seorang tua memberitahu syarat-syaratnya.

Setelah Seri Wak Raja pulang dan memberitahu tentang kecantikan Tun Teja, Sultan Mahmud mahukan Tun Teja meskipun ketika itu menjadi tunangan orang. Hang Nadim berjaya melarikan Tun Teja. Laksamana Khoja Hasanpergi ke Pahang dan berjaya melarikan gajah Ai Kening. Sultan Mahmud Raja Zainal dibunuh dan tugas ini disempurnakan oleh Hang Berkat. Raja Legor ingin menyerang Pahang atas suruhan Raja Siam. Tun Perpatih Hitam dan Tun Hussain dibunuh kerana bersikap biadap di hadapan raja. Maulana Sadar Jahan datang ke Melaka dan Sultan Mahmud telah berguru dengan beliau.

Bendahara Seri Maharaja telah mengahwinkan anaknya dengan Tun Ali. Nina Sura Dewana memberi rasuah kepada Bendahara Seri Maharaja dan ini telah dilihat oleh Si Kitul. Si Kitul membuat fitnah bahawa Bendahara Seri Maharaja mahu membunuh Raja Mendaliar. Peringgi telah menyerang Melaka di bawah pimpinan Alfonso d'Albuquerque tetapi serangan kali pertama gagal. Berlaku pertempuran hebat antara tentera Peringgi dengan orang-orang Melaka. Peringgi menyerang Bintan dan Sultan Mahmud terpaksa berundur hingga ke Kampar.

Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah ditabalkan menjadi raja selepas kemangkatan Sultan Mahmud Syah dan baginda meninggalkan Kampar menuju ke Pahang dan berkahwin dengan Raja Kesuma Dewi, anak Sultan Mansur Syah. Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah membuka sebuah negeri di Kuala Johor. Raja Omar, iaitu cucu Sultan Mansur Syah di Pahang berkahwin dengan Raja Fatimah, anak Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah. Sultan Muzzafar Syah menggantikan Sultan Alaud'-Din Ri'ayat Syah yang mangkat dan baginda membuka sebuah negeri bernama Seluyut. Raja Omar menceraikan isteri pertamanya setelah Raja Fatimah hamil. Sultan Muzaffar Syah pula jatuh hati dan berkahwin dengan bonda Raja Mansur. Kemangkatan Sultan Muzaffar digantikan oleh Sultan Abdul Jalil Syah.


No comments:

Post a Comment